Tingkat kesedaran kesihatan mental

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesihatan mental dan untuk menyokong kerja-kerja yang dilaksanakan oleh Perkhidmatan Psikiatri, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dalam bidang kesihatan mental, British Loan Service Thrift Shop menyampaikan sumbangan derma kepada Perkhidmatan Psikiatri, Hospital RIPAS, hari ini.

Di majlis penyampaian sumbangan derma yang berlangsung di Perkhidmatan Psikiatri, Hospital RIPAS, sumbangan berjumlah $627 disampaikan oleh Pengerusi British Loan Service Thrift Shop, Martin Jarvis kepada Ketua Perkhidmatan Psikiatri, Dr Hilda Ho.

Turut hadir semasa majlis berkenaan ialah Bendahari British Loan Service Thrift Shop, Stephan Martin; pengurus-pengurus British Loan Service Thrift Shop, Kelly Pain dan Tammy Clarke serta pegawai-pegawai dari Perkhidmatan Psikiatri, Hospital RIPAS.

Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Martin menyatakan bahawa sumbangan itu, ialah hasil kutipan daripada jualan barang-barangan di British Loan Service Thrift Shop, yang merupakan sebuah kedai bukan berasaskan keuntungan dan hasil yang diperoleh disalurkan kembali kepada masyarakat melalui sumbangan derma kepada badan-badan kebajikan serta mereka yang memerlukan.

Beliau menambah bahawa pihaknya telah memilih untuk membuat sumbangan derma kepada Perkhidmatan Psikiatri, seiring dengan Minggu Kesihatan Mental di United Kingdom pada minggu ini, mereka merasa ia adalah bertepatan untuk menyampaikan sumbangan derma tersebut bagi menyokong usaha-usaha yang dilaksanakan ke arah kesihatan mental.

Beliau turut menyatakan harapan bahawa menerusi usaha itu, ia akan memberikan pendedahan dan meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai pentingnya kesihatan mental.

Dr Hilda Ho menerima sumbangan daripada British Loan Service Thrift Shop yang disampaikan oleh Martin Jarvis di Perkhidmatan Psikiatri, Hospital RIPAS.