Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia, Cureheart dan Qudoz Management dengan kerjasama Sekolah Penerbangan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal, Berakas mengadakan kempen kesedaran di sekolah berkenaan yang telah dirasmikan kelmarin.
Hadir merasmikan kempen tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Pengasas Cureheart, Hajah Norajleen Uminatul Hafizan binti Haji Alimas dalam ucapan alu-aluannya telah menekankan kepentingan perkhidmatan kaunseling dan psikologi bagi membantu mereka yang menghadapi krisis atau isu yang melibatkan perubahan tingkah laku dan cara berfikir.
Kempen berkenaan dimeriahkan dengan pameran daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta selain pertunjukan Circuit Training bagi kanak-kanak dan pelajar dari HSN Fitness.
Selepas perasmian, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga berpeluang mengadakan lawatan ke petak-petak pameran.
Terdahulu pada sebelah pagi, acara dimulakan dengan ucaptama oleh Dayang Ili Aiman binti Abdul Rahman yang mengongsikan mengenai AMLife, iaitu perniagaan penjagaan kesihatan melalui tidur.
Turut diadakan adalah forum bertajuk Kualiti Kehidupan dan Kesejahteraan yang dipengerusikan oleh Dayang Nuramalina binti Haji Kifrawi dan ahli-ahli panel terdiri daripada Pengarah dan Pakar Psikologi di Clarity Sdn Bhd, Todd McPherson, Penolong Kaunselor Penjara Maraburong, Awang Fariszal bin Ali dan Pegawai Pembangunan Masyarakat, Dayang Irnawati binti Haji Mahir.