Tingkat kesedaran kesihatan mental melalui seni

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Dalam usaha bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kesihatan mental, Open Hearts telah menganjurkan Pameran ‘Art Works; Heartworks’ bertempat di Avenue 41 di Kiarong.

Hadir pada majlis pembukaan malam tadi ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang seterusnya dibawa melawat sekitar pameran seni yang terdapat di sana dengan diiringi oleh pengasas Open Hearts, Nadiah Suhaili selaku ketua penganjur acara tersebut.

‘Art Work; Heartworks’ adalah acara kesedaran kesihatan mental yang menggabungkan seni dan kreativiti dan kesannya terhadap kesejahteraan. Ia mengambil bentuk pameran seni interaktif yang memperlihatkan karya seni daripada seniman tempatan yang menyampaikan perspektif mereka terhadap kesihatan mental.

Bengkel dan perbincangan yang diadakan oleh Open Hearts dan pakar-pakar dalam bidang berkenaan menyentuh topik seperti kecemasan dan kemurungan yang menjadi masalah utama generasi muda hari ini.

Acara yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari berkenaan berlangsung hujung minggu itu juga disokong oleh The Creative Core BN.

Satu siri bengkel yang dijalankan oleh Nadiah Suhaili dan Todd Mcpherson, seorang pakar psikologi kaunseling dari Clarity Sdn Bhd akan berlangsung pada hari Sabtu, di mana bengkel berkenaan dikendalikan untuk para pelajar sekolah menengah dan pelajar tingkatan enam serta orang ramai.

Pameran dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula petang hingga malam pada Sabtu ini, manakala pada hari Ahad, bermula pagi sehingga petang, di mana para pengunjung juga berpeluang untuk ikut serta dalam sesi interaktif seperti Colouring pada Mandala dan Voice Your Opinion Wall bersama-sama para seniman tempatan seperti Karen Leong, Corina Yeo, Michelle Fung, Ira Ali, Aklil, Bazilah Suhaili, Maw, Mad Nycer, Wan Mayang dan Nadiah.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika dibawa menyaksikan karya yang dihasilkan untuk pameran tersebut.