Tingkat kesedaran kesihatan mulut

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Lima pelajar pergigian Tahun 3 dari Universiti Brunei Darussalam telah menjalankan projek kemasyarakatan dinamakan The S.M.I.L.E. (Supporting Mouth Health in Learning Environment) dengan menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA), kelmarin.

Sumbangan berupa berus gigi kanak-kanak dan kewangan itu dikumpulkan menerusi projek-projek pengumpulan derma yang bermatlamat untuk menyokong Persatuan KACA dari segi keperluan pergigian.

Menurut kenyataan yang diberikan, kumpulan berkenaan telah menjalankan kempen mengumpul derma selama 15 hari dan dua jualan garaj semasa Bandarku Ceria.

Sumbangan berkenaan telah diterima oleh Pengarah Urusan Persatuan KACA, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman.

Kenyataan menjelaskan, Projek S.M.I.L.E adalah program outreach komuniti yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar pergigian Tahun 3 yang bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan dan kebersihan mulut dalam kalangan kanak-kanak serta orang awam.

Bagi memenuhi objektifnya, kumpulan berkenaan juga telah menjalankan kempen-kempen kesedaran di sekolah-sekolah tadika dan rendah.

Pelajar UBD menyampaikan sumbangan berus gigi kepada Haji Awang Abdul Alim.