Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai katarak, Kelab Rotary Bandar Seri Begawan dengan kerjasama Frame Lens Optical dan Persatuan Oftalmologi Brunei mengadakan Acara Saringan Katarak bagi warga emas yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan, Kampung Lamunin pada 5 November lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kelab Rotary Bandar Seri Begawan, katarak merupakan masalah penglihatan dalam kalangan warga emas yang boleh memberikan kesan signifikan kepada kualiti kehidupan seseorang.
Menerusi penganjuran acara saringan itu, ia diharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai katarak dan menyediakan perkhidmatan saringan yang dapat diakses oleh penduduk di Kampung Lamunin dan kampung-kampung sekelilingnya.
Acara menyaksikan masyarakat setempat diberikan pemeriksaan saringan mata secara percuma oleh pakar oftalmologi yang berkelayakan sekali gus memberikan peluang kepada mereka untuk mendapatkan bimbangan pakar mengenai kesihatan mata, mempelajari mengenai langkah-langkah pencegahan serta mendapatkan penerangan mengenai pilihan rawatan yang disediakan.
Presiden Kelab Rotary Bandar Seri Begawan, Daniel Thien dipetik menyatakan bahawa menerusi kerjasama masyarakat, acara itu dapat dilaksanakan dengan jayanya di mana ia mencapai hasrat serta komitmen untuk mempromosikan kesihatan mata dalam kalangan warga emas.
Menerusi usaha itu lagi, tambahnya, pihaknya berharap untuk terus membuat impak signifikan kepada kehidupan mereka yang terkesan oleh katarak dan mengurangkan kejadian buta yang boleh dielakkan di rantau ini.