BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Dengan tujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk mengenai kepentingan mengurus kewangan dengan bijak serta kepentingan memiliki strategi dan kelebihan dalam membuat keputusan, Yesinv Management Services akan mengadakan bengkel Let’s Play Rut to Riches pada akhir bulan ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, bengkel tersebut akan dikendalikan secara unik dan interaktif iaitu dengan bermain permainan papan Rut to Riches.
Permainan tersebut merupakan simulasi kehidupan sebenar dan ia merupakan cara terbaik untuk menaik taraf pengetahuan mengenai kewangan dan mengaplikasikan strategi yang dipelajari untuk memudahkan pemain memahami kepintaran kewangan dan mencapai sasaran kewangan masing-masing.
Ia sesuai untuk semua peringkat umur, bagi yang bekerja ataupun yang masih mencari pekerjaan. Bagi yang sudah bekerja, ia akan dapat membantu memperbaiki status kewangan mereka pada masa kini.
Manakala bagi yang belum bekerja dan masih mencari pekerjaan, permainan tersebut akan dapat membantu mereka merancang perjalanan kewangan mereka dari awal.
