Tingkat kesedaran tatacara berhias diri

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Persatuan MAWAR melalui Biro Pendidikan dan Pembangunan, baru-baru ini, telah mengadakan sesi perkongsian bertajuk ‘Tabarujj dalam Berhias Diri dan Berpakaian’ bagi meningkatkan lagi kesedaran orang ramai, khususnya bagi para wanita terhadap perkara berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan persatuan berkenaan, sesi perkongsian yang diadakan di Sekolah Menengah Rimba, Bandar Seri Begawan itu menampilkan Penguasa Dakwah dan Tabligh, Ketua Bahagian Penyebaran Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah, Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan dan penceramah bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Dayang Siti Hurul-Ain Diyana binti Haji Abdul Majid dengan dipengerusikan oleh Hajah Rozailah binti Haji Abdul Rahman dari Persatuan MAWAR.

Antara objektif utama perkongsian berkenaan adalah untuk memberikan kefahaman kepada para wanita khususnya golongan muda dan remaja, mengenai konsep dan tatacara berhias diri dan berpakaian dari segi pandangan Islam seperti etika menggunakan minyak wangi, etika berpakaian yang tidak menonjolkan diri, etika bersolek dan banyak lagi.

Di samping itu, para penceramah undangan juga mengingatkan para hadirin untuk berbelanja secara berhemah dan berketerampilan sopan.

Semasa sesi tu, para peserta juga berpeluang untuk mengajukan soalan-soalan kepada para penceramah.

Turut hadir semasa sesi perkongsian tersebut ialah Penasihat Persatuan MAWAR, Hajah Nur Afifah binti Haji Matassim dan ahli-ahli Persatuan MAWAR yang lain.

Persatuan MAWAR akan terus menganjurkan lebih banyak program yang memberikan kesedaran dan kefahaman ilmu mengenai pelbagai aspek yang berkaitan dengan wanita selaras dengan objektif penubuhannya.

Pengiran Norhayati bergambar ramai bersama para peserta sesi perkongsian berkenaan.