Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran terhadap AIDS

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Lebih daripada 60 orang ahli Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAC) dan sukarelawan telah mengadakan kempen kesedaran AIDS dengan mengagih-agihkan risalah kepada orang ramai di sekitar kawasan membeli-belah di Citis Square, Times Square dan Airport Mall.

    Program RED (Re-educate, Empower, Destigmatise) Leaflet Trail 2017 BDAC yang berlangsung di Citis Square, Berakas, kelmarin turut dihadiri oleh Naib Presiden (Pentadbiran) BDAC, Awang Mohd Hazrin bin Daud

    Acara yang dianjurkan dengan kerjasama It’s A Grind Brunei (IAG) dan Pusat Promosi Kesihatan itu bukan sahaja dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai HIV/AIDS tetapi untuk mendidik dan mengurangkan stigma mengenai HIV/AIDS menerusi sesi ceramah.

    Pengurus Projek dan Setiausaha (Media dan Perhubungan Awam) BDAC, Awang Billah Hassan berkata, projek itu dilaksanakan pada hari Ahad kerana ia merupakan hari di mana sebilangan besar ahli keluarga dan sahabat handai berkumpul dan merupakan waktu terbaik untuk mengagih-agihkan risalah serta mendapatkan maklum balas sekali gus meningkatkan kesedaran mereka menerusi sesi perbincangan dan ceramah yang diadakan.

    Beliau mengakui isu HIV/AIDS jarang dibincangkan atau disuarakan dan ia menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memainkan peranan bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu berkenaan.

    “Sebagai contoh, ibu bapa boleh menerangkan dan menggalakkan nilai-nilai moral yang baik pada anak-anak mereka dan guru-guru juga boleh berbuat perkara yang sama kepada pelajar-pelajar mereka,” tambah Awang Billah Hassan.

    (Dari kiri) Dayang Kailene, Dayang Siti Khalilah, Awang Billah Hassan dan Awang Mohd Hazrin semasa sesi ceramah dan perbincangan.
    (Dari kiri) Dayang Kailene, Dayang Siti Khalilah, Awang Billah Hassan dan Awang Mohd Hazrin semasa sesi ceramah dan perbincangan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda