BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam (CCBD) melalui Sekretariat Eksekutif di Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna telah mengendalikan dua sesi terakhir bengkel bersiri bertajuk ‘Menentang Tipuan Bidaan di dalam Perolehan Awam’ masing-masing dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan.
CCBD dalam kenyataannya menjelaskan, bengkel bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kesan bahaya tipuan bidaan, yang juga dikenali sebagai tender kolusif, serta mendidik penjawat awam mengenai cara untuk mengesan dan mencegah penipuan bidaan dalam perolehan awam.
Sejajar dengan penguatkuasaan Perintah Persaingan pada Januari tahun ini, bengkel bersiri tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif advokasi suruhanjaya persaingan dalam mempromosikan budaya kesedaran persaingan di kalangan penjawat awam dalam melaksanakan aktiviti perolehan. Ia diadakan dengan kerjasama bahagian perolehan di kementerian masing-masing dalam usaha mempromosikan pendekatan bersama menentang penipuan bidaan dalam perolehan awam ke arah melindungi perbelanjaan kerajaan.
Kenyataan menjelaskan, dengan fokus mengesan dan menghentikan tipuan bidaan, bengkel tersebut meneroka konsep, amalan terbaik dan langkah pencegahan untuk menghentikan penipuan bidaan, serta potensi sistem perolehan elektronik atau sistem e-perolehan dalam mengurangkan risiko kolusif dalam perolehan awam secara signifikan di kalangan pembida.
Semasa bengkel itu, Penasihat Undang-undang Kanan di Indonesia Competition Commission, Mohammad Reza yang telah menjalankan penempatan selama dua minggu di CCBD mengongsikan pengalaman Indonesia dalam melaksanakan sistem e-perolehan, termasuk e-tendering, e-katalog dan e-purchasing, dalam usaha meningkatkan kecekapan; ketelusan; akaun-tabiliti dan persaingan peniaga yang adil.
Bengkel turut menampilkan Rakan Senior di Melbourne Law, Melbourne University, Dr Hassan Qaqaya yang mengingatkan pegawai perolehan bahawa penipuan bidaan dalam perolehan awam bukan hanya akan membahayakan ekonomi melalui kos kerajaan yang meningkat dan peruntukan sumber kerajaan yang tidak cekap, bahkan juga akan menjejaskan keyakinan terhadap pihak kerajaan atau menimbulkan persepsi palsu di kalangan orang awam terhadap ketidakcekapan pegawai perolehan.
Peserta diberikan kajian kes untuk membincangkan dan menerapkan pembentangan teori pakar kepada strategi praktikal dalam cara untuk mengesan penipuan bidaan dan bagaimana pegawai perolehan boleh mereka bentuk tender yang lebih efektif bagi mengelakkan kemungkinan pakatan.
