Tingkat kesiapsiagaan kakitangan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Dalam meningkatkan kesiapsiagaan kakitangan bank untuk menangani kecemasan kebakaran, Bank Baiduri dan Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi A Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) serta agensi-agensi yang lain telah bekerjasama mengadakan latihan kebakaran di Bangunan Bank Baiduri Kumbang Pasang, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, seramai 12 orang anggota dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan telah dikerahkan ke lokasi berkenaan untuk operasi memadam ‘kebakaran’ dan menyelamat ‘mangsa’ dalam latihan pada 19 November lalu itu.

Marsyal bomba yang terlatih di syarikat itu diuji dengan kecekapan mengosongkan bangunan yang mempunyai 166 orang pegawai dan kakitangan.

Kenyataan menyatakan bahawa latihan itu bermatlamat untuk meningkatkan lagi kesedaran dan kefahaman orang awam serta memupuk rasa tanggungjawab dan mengambil berat akan aspek-aspek keselamatan kebakaran dalam bangunan, mengikut prosedur pengosongan yang efektif serta bersistematik bagi menyelamatkan diri menggunakan laluan kecemasan yang sedia ada serta menguji kemahiran, koordinasi dan latihan secara praktikal adalah kritikal dalam mana-mana operasi serta untuk memastikan kesiapsiagaan anggota merupakan faktor utama dalam menangani operasi memadam dan menyelamat.

JBP dalam kenyataan itu, menekankan bahawa latihan-latihan sepertinya adalah sangat penting dan perlu sentiasa dipraktikkan bagi sama-sama menangani situasi bila berlakunya kebakaran dan tindakan yang betul sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Anggota bomba dan penyelamat mengangkat ‘mangsa’ semasa latihan di Bangunan Bank Baiduri, Kumbang Pasang pada 19 November lalu. – Gambar serahan JBP