Tingkat kesiapsiagaan sukarelawan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesiapsiagaan anggota sukarelawan bagi menangani keselamatan orang ramai, seramai 27 orang ahli Majlis Perundingan Kampung Subok (MPK Kampung Subok) mengikuti taklimat Life Saver 995 yang berlangsung di rumah pemangku ketua Kampung Subok, pada 12 Julai lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, taklimat dan latihan tatacara menyelamatkan mangsa menggunakan folding stretcher disampaikan oleh pegawai Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi A dan Unit Skuad Khas Cawangan Operasi C.

Taklimat dan latihan berkenaan dihasratkan untuk meningkatkan kesiapsiagaan sukarelawan MPK Kampung Subok bagi menangani keselamatan orang ramai khususnya kepada penggemar pendaki bukit dan riadah yang semakin hari meningkat terutama di Taman Riadah Bukit Sipatir, Bukit Karamunting dan Bukit Laur, Kampung Subok.

Majlis juga menyaksikan penyampaian satu set folding stretcher sumbangan Syarikat Ace Agencies Berhad yang disampaikan oleh Raymond Sng kepada Pemangku Ketua Kampung Subok, Awang Lawi bin Haji Lamat dan sijil Life Saver 995 kepada 27 orang peserta.

Hadir semasa majlis berkenaan ialah Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi A, Penguasa Kanan Bomba Awang Noor Aflan bin Haji Awang Kachi, Stesen Komander Balai Bomba Bandar Seri Begawan, pegawai-pegawai dan anggota JBP.

Kenyataan menyarankan kepada orang ramai bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, hubungi talian kecemasan 995 serta memberikan maklumat yang betul.

Ahli-ahli MPK Kampung Subok diberikan latihan tatacara menyelamat mangsa menggunakan folding stretcher.
Raymond Sng menyampaikan folding stretcher kepada Awang Lawi.