Tingkat keupayaan penerokaan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Dimension Strata Sdn Bhd yang merupakan syarikat konsultasi geosains dan pembekal latihan dalam bidang minyak dan gas, hari ini, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Serintel S.r.l.

Hadir menyaksikan penandatanganan MoU pada majlis yang diadakan di Hotel Radisson itu ialah Timbalan Menteri Tenaga, Tenaga Manusia dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

Menandatangani bagi pihak Dimension Strata Sdn Bhd ialah Pengarah Urusannya, Awang Mohammad Reduan bin Haji Mohd Yusof manakala itu, Serintel S.r.l diwakili oleh Pengarah Urusan, Vito di Marco.

Awang Mohammad Reduan dalam ucapannya menekankan, salah satu daripada cabaran yang dihadapi oleh industri minyak dan gas hari ini ialah keupayaan meneroka, mengembangkan dan terus menghasilkan minyak mentah dan gas asli daripada keadaan geologi dan geofizik yang kompleks.

Dengan harga minyak menjadi lebih tidak menentu dalam jangka masa pertengahan hingga panjang, beliau berkata, industri ini sentiasa mencari kemajuan teknologi dan inovasi untuk mencapai peningkatan yang berterusan dalam meminimumkan risiko penerokaan, meningkatkan kos operasi dan kecekapan masa, pengurangan kos dan rasionalisasi, pengoptimuman pengeluaran dan akhirnya kemajuan pada masa hadapan.

Dato Seri Paduka Haji Matsatejo menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) di antara Dimension Strata Sdn Bhd dan Serintel S.r.l, kelmarin.

Menurut beliau, Syarikat Dimension Strata ditubuhkan untuk menambah haluan untuk individu di Brunei yang mempunyai kelayakan geosains bagi meneruskan lagi pilihan kerjaya mereka, bukan hanya dalam bidang perkhidmatan geosains petroleum atau latihan peruntukan tetapi juga untuk memulakan kegiatan penyelidikan geosains.

Manakala itu, Serintel S.r.l merupakan sebuah syarikat organisasi latihan industri minyak dan gas, yang menyediakan perkhidmatan latihan profesional dan teknikal pengurusan yang meliputi pelbagai bidang operasi di samping menyediakan perkhidmatan konsultasi dan latihan kepada pelanggan di Eropah, Amerika Selatan, Timur Tengah, Afrika dan juga Asia.

Dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi, Awang Mohammad Reduan berkata, Dimension Strata telah memajukan penyelidikan dan pembangunan (R&D), memfokuskan dalam meningkatkan interpretasi geologi dan geofizik (G&G) dan meningkatkan kefahaman terhadap zon hidrokarbon serta menghasilkan imej 3D yang lebih baik dalam ‘geomodeling reservoir’.

Manakala itu, Vito di Marco dalam ucapannya pula melahirkan harapan dengan kerjasama yang ditubuhkan bersama Dimensions Strata akan dapat meningkatkan lagi pengetahuan mengenai dengan perkhidmatan dalam industri minyak dan gas di Brunei dan Asia Tenggara. Majlis penandatangan berkenaan telah diteruskan dengan sesi perbincangan ‘Geo-science in Brunei Darussalam: Possibilities of Diversification’ bersama tiga orang penceramah yang terdiri daripada pengasas bersama Dimension Strata Sdn Bhd, Dr Akm Eahsanul Haque; Penasihat Kanan Geosains Serintel, Dr Lorenzo Lipparini dan Penolong Profesor Geologi Struktur, Universiti Brunei Darussalam, Dr Afroz Ahmad Shah.