Tingkat kewaspadaan, elak penularan dan sekatan semula

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Dalam usaha mengelak senario jangkitan penularan semula atau perlunya melaksanakan semula sekatan-sekatan yang telah dilonggarkan, orang ramai diingatkan untuk terus mengamalkan langkah-langkah yang disarankan kerajaan, terutamanya pihak Kementerian Kesihatan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan tidak akan teragak-agak untuk menutup serta mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana premis-premis dan restoran-restoran terutama gerai-gerai yang tidak mematuhi peraturan.

“Tindakan undang-undang juga akan diambil ke atas orang ramai yang tidak mengendahkan atau melanggar peraturan dan arahan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak merasa terlalu selesa dan leka dengan pengurangan langkah-langkah sekatan itu.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika berucap pada sidang media berkenaan, kelmarin.
Orang ramai diingatkan agar sentiasa mengamalkan penjarakan sosial terutama di tempat-tempat awam seperti pusat membeli-belah dan sebagainya. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Walaupun jangkitan COVID-19 di negara kita adalah dalam keadaan terkawal, namun kita masih dalam ancaman wabak tersebut,” tekan Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Sehubungan itu, orang ramai perlu terus berusaha meningkatkan kewaspadaan dengan mengikut nasihat-nasihat daripada pihak kerajaan seperti tidak mengunjungi tempat-tempat yang ramai orang, mengamalkan penjarakan fizikal di mana saja berada dan tidak membawa warga emas dan anak-anak damit keluar rumah jika tidak perlu.

“Orang ramai yang mempunyai risiko tinggi adalah disyorkan untuk menggunakan penutup mulut dan hidung dan bagi yang tidak atau kurang sihat untuk tidak keluar rumah kecuali atas sebab-sebab tertentu sahaja,” jelas Yang Berhormat Dato.

“Di samping itu, orang ramai perlu sentiasa mengamalkan kebersihan diri bagi mengelakkan kemungkinan penularan jangkitan terjadi.

“Kita tidak mahu senario jangkitan penularan semula berlaku ataupun di mana kita perlu memperketat semula sekatan-sekatan yang telah dilaksanakan,” tegasnya.