Negara kita kini berada dalam keadaan cuaca aktif diramalkan berterusan sehingga hujung minggu 16 Julai ini, dengan hujan dijangka sekali-sekala lebat, berangin kencang dan berpetir dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 60 kilometer sejam (kmsj) di kawasan darat manakala di kawasan perairan boleh mencapai sehingga 80kmsj.
Justeru dengan keadaan cuaca aktif ini orang ramai perlu meningkatkan kewaspadaan dan mengambil langkah-langkah awal bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.
Baru-baru ini saja kejadian pokok tumbang di mana-mana sehingga ada yang merosakkan kenderaan orang awam, malah berikutan angin ribut banyak atap-atap rumah, kem dan sebagainya habis diterbangkan oleh angin kencang. Untuk itu, orang awam dinasihatkan untuk mengelak meletakkan kenderaan di kawasan berpokok atau sebaiknya pindahkan ke tempat yang lebih selamat.
Manakala bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah atau kawasan yang mudah banjir, risiko kejadian banjir kilat adalah tinggi.
Sehubungan itu diharap orang awam mempersiapkan diri dengan menyelamatkan barang-barang berharga untuk disimpan di kawasan yang lebih tinggi.
Bagi para pemandu di jalan raya, tingkat kewaspadaan awda semasa memandu, pasangkan lampu kereta bagi mempermudah pemanduan semasa hujan, elakkan penggunaan telefon bimbit dan kurangkanlah had kelajuan serta elakkan kawasan banjir atau bertakung.
Bagi para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh pihak relevan di samping membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Waspada Selalu