Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 21 Sept – Sebagai usaha meningkatkan keyakinan pelajar-pelajar untuk menjawab soalan semasa Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara (PSN) Pengiran Mohd Yusof Lorong Tiga Seria telah mengadakan Program Pecutan Terakhir Menjelang PSR yang berlangsung di dewan sekolah tersebut di sini, hari ini.
Seramai 46 orang pelajar sekolah tersebut bakal menduduki Peperiksaan PSR yang akan bermula 21 Oktober depan.
Sehubungan itu, program berkenaan turut dihasratkan untuk meningkatkan kerjasama dan menjalinkan hubungan silaturahim antara pihak sekolah dengan ibu bapa serta penjaga pelajar Tahun 6 sebagai pemangkin semangat untuk pelajar-pelajar menghadapi peperiksaan nanti.
Guru Besar sekolah, Dayang Hayati binti Haji Ismail memberitahu, program anjuran Unit Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan itu juga merupakan kesinambungan daripada Program Keibubapaan yang telah diadakan pada 25 Februari lalu.
Menurut beliau, ia juga bertujuan untuk membantu para pelajar membuat persiapan terakhir menjelang PSR nanti dan sebagai motivasi dan dorongan semangat keyakinan kepada para pelajar berkenaan.


Majlis berkenaan dimuatkan dengan tiga taklimat yang disampaikan oleh kaunselor-kaunselor sepenuh masa, Jabatan Sekolah-sekolah antaranya bertajuk ‘Mengatasi Stres, Hala Tuju dan Persediaan Sebelum Peperiksaan dan Amanah dan Harapan’.
Kaunselor Sekolah Rendah Sungai Tali, Dayang Nur Suriatul Atiqah binti Abdul Qayyum Simul dalam taklimatnya antara lain menekankan supaya para pelajar memperbanyakkan doa dan bersolat supaya perasaan sentiasa tenang dan memperbanyakkan memohon pertolongan Allah S.W.T, untuk dipermudahkan semua urusan mereka sepanjang menghadapi peperiksaan itu nanti.
Di samping itu, beliau juga menasihatkan supaya para pelajar tidak mengikut emosi atau rasa gementar dan perlu terus menanamkan semangat keyakinan, dengan dibantu oleh ibu bapa dan penjaga yang juga perlu terus memberikan sokongan moral dari segi fizikal dan mental.
Sementara itu, Kaunselor dari Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Ampuan Suzienie binti Ampuan Haji Yusof dalam taklimatnya pula memberikan beberapa tip kepada ibu bapa dan penjaga bagaimana untuk membantu memberikan sokongan kepada anak-anak mereka sebelum menghadapi peperiksaan, antaranya ibu bapa dan penjaga perlu ada di sisi para pelajar semasa mereka belajar di rumah sebagai memberikan sokongan moral, di samping turut membantu menyelesaikan tentang soalan-soalan peperiksaan yang anak-anak mereka kurang faham melalui inisiatif mereka.
Selain itu, katanya, ibu bapa dan penjaga juga perlu mengawal disiplin seharian anak-anak mereka seperti menjaga pemakanan, kesihatan dan sebagainya supaya para pelajar lebih sihat, cergas dan bersemangat tinggi.
Turut menyampaikan taklimat ialah Kaunselor dari Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Dayang Zaimah binti Dollah @ Haji Abdullah. Majlis telah diakhiri dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada tiga orang kaunselor dan sesi bergambar ramai.
Sementara itu beberapa orang ibu bapa yang hadir sama dan sempat ditemui memberitahu, mereka sangat menghargai usaha dan inisiatif pihak sekolah untuk memajukan anak-anak mereka terutama dalam mencapai kelulusan yang cemerlang dalam Peperiksaan PSR, dan segala apa yang telah disampaikan pada program itu akan dilakukan demi kemajuan dan kecemerlangan anak-anak mereka sendiri.
Pada tahun lepas, Sekolah Rendah PSN Pengiran Mohd Yusof Lorong Tiga Seria mendapatkan keputusan 49.18 peratus calon Peperiksaan PSR lulus dengan mendapatkan Gred ‘A’ hingga ‘C’.