Tingkat keyakinan penunggang

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – QAF Auto Sdn Bhd dan BMW Motorrad hari ini telah mengadakan latihan kemahiran menunggang asas yang disertai oleh lebih 30 orang pelanggan.

Latihan bermula di Bilik Pameran QAF Auto Sdn Bhd, Beribi di mana Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo menyampaikan ucapannya yang antara lain melahirkan keterujaan dalam mengadakan acara seumpamanya yang diadakan buat julung kalinya di negara ini.

Beliau turut melahirkan harapan agar acara seum-pamanya dapat diadakan lebih kerap pada masa yang akan datang di samping menyeru semua pelanggan agar tetap setia bersama dan menyokong segala acara yang dianjurkan oleh QAF Auto pada masa akan datang.

Aktiviti-aktiviti yang diadakan telah dipimpin oleh barisan jurulatih bertauliah dari BMW International Instructor Academy iaitu Tommy Lee dan Toto Villanueva.

Pada sebalah pagi, latihan diisi dengan aktiviti menggunakan motosikal BMW di kawasan Bilik Pameran QAF Auto sebelum diteruskan dengan perjalanan ke Daerah Tutong dan beberapa lokasi lain seperti Pantai Tungku pada sebelah petang.

Tommy Lee semasa ditemui pihak media menjelaskan bahawa latihan asas yang diadakan buat kali pertamanya di Brunei itu lebih menumpukan kepada langkah keselamatan dan penerangan cara penggunaan beberapa fungsi yang terdapat pada motosikal BMW yang digunakan.

Meskipun aktiviti yang dijalankan kali ini dilihat mudah dan ringkas tetapi ia amat penting untuk dikuasai oleh para penunggang motosikal yang melibatkan pelbagai sudut dan perkara seperti dalam menyeimbangkan motor, cara mengawal motosikal dalam keadaan perlahan, teknik dan cara dalam mengawal keadaan berhadapan dengan saat-saat yang cemas dan bermacam-macam lagi, tambah Tommy Lee.

Menurut beliau lagi, program juga dihasratkan dapat meningkatkan keyakinan diri para penunggang kerana dengan adanya keyakinan terhadap motosikal yang mereka gunakan itu dapat membantu mereka untuk fokus terhadap perkara penting lainnya khususnya terhadap keselamatan jalan raya kerana kebanyakan kemalangan berlaku apabila para penunggang tidak berasa yakin dan bimbang akan motosikal mereka dan menjadi terganggu.

Tommy Lee membuat demonstrasi menunggang motosikal kepada para peserta di kawasan Bilik Pameran QAF Auto. – Gambar oleh Muiz Matdani