Tingkat khidmat, sistem kesihatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif berharap warga Kementerian Kesihatan akan terus meningkatkan sistem kesihatan menjadi yang terbaik dan selamat mungkin.

“Ini kerana, tidak ada sesiapa yang akan dapat meningkatkan perkhidmatan itu tetapi kita dan kerana satu hari nanti kita mungkin akan menjadi pesakit pada sistem ini sendiri,” ujarnya semasa berucap pada Bengkel Pembangunan Fakulti Klinikal: Konsep Utama dalam Pendidikan Perubatan yang berlangsung di Pusat Sumber Anatomi, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSBIHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

Menurut Dr Haji Zulaidi lagi, kementerian berharap untuk memperkenalkan penjagaan kesihatan efisien yang menyediakan perkhidmatan tepat pada masanya, bersepadu dan mengurangkan waktu menunggu, memaksimumkan sumber dan mempertingkatkan penggunaan transformasi digital, data besar dan AI.

“Kami juga berharap pesakit akan mendapat pengalaman positif dan berpuas hati apabila mereka berada di bawah jagaan kami,” ujarnya.

“Perkara itu akan dapat dicapai dengan mempunyai tenaga kerja yang mengamalkan kecemerlangan. Kita perlu membangunkan orang yang layak dengan kemahiran yang sewajarnya, nilai sebenar serta sikap yang betul. Kesediaan untuk pergi lebih jauh adalah sikap yang sangat penting.”

Dr Haji Zulaidi ketika berucap pada bengkel yang diadakan di UBD.

Dr Haji Zulaidi juga menekankan ia juga penting bagi doktor-doktor mempunyai komitmen tinggi dan bukan hanya mengejar ganjaran tinggi semata-mata. “Kita sangat mengharapkan tenaga kerja yang mempromosi dan meningkatkan budaya keselamatan pesakit yang mana ia sangat relevan dengan bengkel ini.

“Anda telah dipilih hari ini kerana andalah pemimpin, guru, mentor dan dikenali sebagai anggota penting kementerian dalam menuju ke arah kecemerlangan,” tekannya lagi.

Beliau menekankan bahawa Kementerian Kesihatan amat peka akan pentingnya dan signifikan penyampaian latihan dan pendidikan perubatan yang berkualiti tinggi di mana Lembaga Latihan dan Penasihat Pascasiswazah (PGARB) memainkan peranan dalam perkara itu.

PGARB menerusi program-program latihan tahun asas (foundation year, FY) bagi FY1 dan FY 2 sejak 2008, telah mengendalikan dan melatih sebanyak 94 orang doktor. Pada masa ini, terdapat tujuh orang FY1 dan 10 orang FY2 doktor dalam latihan dan sejak 2018, jumlah pengambilan bagi program berkenaan telah meningkat dari enam ke 12 orang setahun.

Di samping itu, di bawah PGATB, terdapat sekurang-kurangnya 66 orang doktor tempatan dan menjalani Latihan Kepakaran Asas (BST) dalam pelbagai kepakaran termasuk 15 orang dalam penjagaan kesihatan asasi, tiga orang dalam perubatan intermal, tiga orang dalam pediatrik, 13 orang dalam pembedahan, tiga orang dalam anestesia, lapan orang dalam kesihatan awam dan 10 orang dalam pergigian.

“Kami berharap untuk membangunkan program latihan yang lebih sistematik dan standard dalam kepakaran lain.” Dr Haji Zulaidi menerangkan bahawa BST itu merupakan batu loncatan bagi mereka untuk berkembang maju dalam kerjaya sebagai doktor dan bagi mereka untuk menjalani Latihan Kepakaran Lanjutan (AST) yang pada masa ini masih dikendalikan di luar negara.

Pada masa yang sama, jelasnya adalah menjadi matlamat pada tahun itu untuk mengukuhkan lagi BST dan bekerjasama dengan program Sarjana Perubatan di mana aspirasi yang ingin dicapai ialah untuk membangunkan doktor yang berkemahiran dan berkompetensi tinggi dengan kemahiran penyelidikan serta komunikasi yang baik.

Dr Haji Zulaidi berkata lagi bahawa adalah amat penting untuk mengambil maklum bahawa pendidikan perubatan bukannya hanya mengenai pengajaran dan latihan profesional penjagaan kesihatan masa hadapan dan peka dengan perkembangan saintifik dan kemajuan penyelidikan tetapi ia juga merupakan alat urus tadbir bagi sistem penghantaran penjagaan kesihatan di mana keputusan perancangan penjagaan kesihatan masa akan datang dibuat. Dalam hubungan itu, pendidikan perubatan yang disampaikan menerusi latihan AST dan BST perlu disejajarkan dengan unjuran keperluan dan keperluan sumber manusia perubatan negara.

Dalam ucapannya lagi, Dr Haji Zulaidi menyatakan bahawa bidang perubatan dan penjagaan kesihatan adalah landskap yang sentiasa berubah dan oleh itu, kita perlu untuk mempersiapkan diri kita dan pelajar-pelajar kita untuk menjadi pelajar sepanjang hayat.

“Profesionalisme ke arah pesakit kita dan rakan-rakan sekerja mesti berada di hadapan supaya dapat terus menyampaikan sistem penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi bagi semua penduduk Negara Brunei Darussalam.”