Oleh Pg Fairol RMF & Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Skim Perkhidmatan Guru (SPGU) termasuk guru agama diharapkan akan dapat memacu peningkatan kualiti pendidikan agama.
“Alhamdulillah, sosialisasi atau pemberigaan mengenai SPGU ini telahpun dilaksanakan kepada semua tenaga pengajar untuk memberikan kefahaman tentang SPGU,” kata Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.
“Pada masa ini JPI dalam proses menyaring tenaga-tenaga pengajar yang memenuhi kelayakan yang dipersyaratkan untuk dipindahkan ke SPGU,” kata beliau semasa menerangkan beberapa perkembangan kementerian dalam mukadimahnya pagi tadi di Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menerangkan mengenai Prasarana Pendidikan Ugama yang mana pihak kementerian akan terus berusaha menyediakan prasarana dan kemudahan pendidikan yang lebih kondusif dari semasa ke semasa bagi kelangsungan pendidikan yang berkualiti.
Antaranya ialah pada tahun 2016, melalui Rancangan Kemajuan Negara ke-10, kerajaan telah menyediakan prasarana pendidikan agama baru iaitu bangunan baru Sekolah Ugama (Arab) Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha yang mula digunapakai pada awal tahun ini dan juga Dewan Serba Guna Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien Kuala Belait.
Manakala prasarana pendidikan yang masih dalam proses pembinaan dan dijangka akan siap pada tahun ini adalah Sekolah Arab Rimba serta Sekolah Ugama Lambak, Jalan Bedil.
Bagi menyiapakan projek-projek ini dan komitmen yang ditanggung untuk dibayar sebanyak $23,997,000 telah diperuntukkan dalam belanjawan ini di bawah tajuk RKN.
Selain itu, KHEU juga mengusahakan serta memperkasa Pendidikan Bahasa Arab, Al-Quran dan Amali Ugama bagi memperkasa kemahiran bertutur Bahasa Arab dalam kalangan pelajar khususnya di sekolah-sekolah Arab juga terus diberi perhatian utama.
Pelbagai program dan inisiatif telah, sedang dan akan dilaksanakan samada di peringkat sekolah, jabatan dan kementerian. Antara inisiatif yang diberi keutamaan ialah mewujudkan persekitaran berbahasa Arab di sekolah. Inisiatif ini dikenal pasti dapat memperkasa kemahiran berbahasa Arab bagi seluruh warga sekolah.
Mengenai pendidikan Al-Quran, usaha-usaha terus dilaksanakan bagi memantapkan dan membudayakan pembacaan Al-Quran dalam kalangan pelajar seawal usia tujuh tahun iaitu kelas pra sekolah agama. Antara program yang dilaksanakan adalah Program 1 Minggu 1 Juzuk dan Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun.
KHEU melalui Jabatan Pengajian Islam (JPI) juga terus berusaha melaksanakan pelbagai program bagi tujuan memantapkan lagi amali agama khususnya pelaksanaan sembahyang lima waktu dalam kalangan pelajar. Walau bagaimanapun bagi meningkatkan keberkesanan pendidikan sembahyang dalam kalangan pelajar, kerjasama padu antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam sama-sama memantau pelaksanaan ibadat sembahyang pelajar-pelajar adalah sangat diperlukan.
Dalam Pembinaan Prasarana Pendidikan Ugama, KHEU juga akan terus berusaha bagi merancang pembinaan bangunan persekolahan agama dan Arab.
Antara projek RKN ke-11 yang dicadangkan adalah rancangan pembinaan Sekolah Ugama Meragang, Sekolah Persediaan Arab, Temburong, Sekolah Ugama Kampung Bolkiah, Sekolah Ugama Kiulap, Sekolah Ugama Senukoh, kemudahan-kemudahan atau tambahan, Sekolah Menangah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah, Sekolah Arab Belait, Sekolah Ugama Lambak Kanan, Sekolah Ugama Tanah Jambu, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit bagi pembinaan gelanggang bola jaring beratap dan gelanggang sukan beratap.