Tingkat kualiti perkhidmatan awam

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Seramai 25 orang pegawai pertengahan dari beberapa kementerian kerajaan telah dipilih untuk menyertai Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pertengahan Kerajaan (EDPMMO) ke-30 yang telah bermula dengan majlis pembukaan di Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam (UBD), pada 22 Ogos lalu.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Perkhidmatan Awam, Kesejahteraan, Antarabangsa dan Media) di Jabatan Perdana Menteri, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pembangunan) di Kementerian Pertahanan, Pengiran Dr Haji Mohd Esa Al-Islam bin Pengiran Haji Mohd Yunus; Pemangku Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Awam, Dr Norfarizal bin Othman dan Pengarah ILIA, UBD, Dr Jainatul Halida binti Haji Jaidin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program berkenaan akan berlangsung selama tiga bulan di ILIA.

Pada tahun ini, tema Inovasi akan diperkenalkan dan dibincangkan melalui beberapa modul serta aktiviti sepanjang program dijalankan. Ini kerana, jelas kenyataan, inovasi amat diperlukan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Pada masa yang sama, dengan melaksanakan program-program ini diharapkan agar dapat melahirkan pemimpin-pemimpin yang berwawasan, kerja berpasukan, berkomunikasi dengan efektif, berfikiran kritikal dan dapat menyelesaikan masalah-masalah yang rumit.

Manakala, pendekatan pembelajaran program menekankan aspek interaksi dua hala antara tenaga pengajar dan peserta, kajian-kajian kes, pembelajaran teradun (blended learning), pengalaman pembinaan semangat berpasukan, dan belajar melalui jurulatih kepimpinan secara one-on-one serta kertas analisis dasar.

Pada akhir program tersebut, para peserta diharapkan berkemampuan untuk memikirkan tentang gaya kepimpinan mereka dan membuat penyelarasan untuk menerajui pentadbiran negara dengan bijak, serta dapat mengenal pasti peluang-peluang yang boleh diterapkan untuk Negara Brunei Darussalam dalam merealisasikan Negara Zikir, maqasid (objektif) syariah, dan Wawasan Brunei 2035.

Haji Muhammad Suffian bergambar bersama peserta Program EDPMMO ke-30 di ILIA, UBD, baru-baru ini. – Gambar serahan UBD