Tingkat mutu produk tempatan

Oleh Sim Y. H.

TUTONG, 24 SEPT – Penggunaan domestik dan jualan runcit dalam negara menunjukkan peningkatan semasa pandemik COVID-19 menurut laporan media di mana dalam hubungan itu, perkara yang harus ditekankan adalah bagaimana untuk mengekalkan pasaran domestik berkenaan serta untuk menggalakkan penduduk untuk terus berbelanja di dalam negara dan terus menyokong serta membeli produk-produk tempatan selepas pandemik nanti.

Dalam hubungan itu, dua bidang telah dikenal pasti di mana produk-produk tempatan termasuk produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dalam memperbaiki lagi atau menaikkan taraf produk mereka iaitu untuk mendapat sumber ramuan atau perisian produk dengan harga yang lebih murah dan untuk memberikan penekanan kepada pembungkusan yang menarik.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dalam temu bual bersama Media Permata selepas pelancaran Tamu Mingguan 1K1P, Daerah Tutong yang berlangsung di Bangunan Pasar Sayur-Sayuran, Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong, hari ini.

Yang Berhormat Pehin berkata bahawa para pengusaha tempatan bukan sahaja perlu mengenal pasti di mana mereka dapat memperoleh sumber bahan atau ramuan yang diperlukan bagi menghasilkan produk mereka tetapi mereka juga perlu mendapatkannya dengan harga yang lebih murah supaya produk yang dihasilkan dapat dipasarkan dengan harga yang lebih kompetitif.

Sementara itu, mereka juga perlu untuk memberikan penekanan kepada pembungkusan produk kerana jika mereka ingin menarik pembeli, pembungkusan harus menarik minat para pengguna untuk membeli produk berkenaan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri diberikan penerangan dan menyaksikan dengan lebih dekat produk-produk yang diketengahkan semasa Tamu Mingguan 1K1P di Bangunan Pasar Sayur-Sayuran, Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong, kelmarin.

“Kita telah menyaksikan produk lain di negara lain, ia bukannya produk itu sendiri yang menjadi tarikan tetapi bagaimana produk itu dipamerkan dan diketengahkan menjadikannya tarikan kepada pelanggan.”

Oleh itu, tambahnya, adalah amat penting bagi 1K1P untuk memberikan penekanan kepada pembungkusan produk mereka.

Mengulas mengenai inisiatif Tamu Mingguan 1K1P, Yang Berhormat Pehin menyatakan perasaan gembira bahawa setiap daerah mengambil inisiatif mereka sendiri dalam usaha meningkatkan dan mengembangkan lagi produk 1K1P di daerah masing-masing.
Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Pehin menghargai usaha yang dilaksanakan oleh

Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Bandaran Tutong dan Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong dalam mempromosi 1K1P dengan menggunakan ruang kosong untuk melaksanakan Tamu Mingguan 1K1P.

Walaupun ruang itu adalah terhad di mana ia hanya mampu untuk menampung sebanyak 20 perusahaan 1K1P tetapi perusahaan-perusahaan yang lain akan diberikan peluang untuk datang mengetengahkan produk mereka pada minggu-minggu yang akan datang.

Beliau turut menyambut baik usaha pihak penganjur di mana mereka bukan sahaja menyediakan ruang bagi pengusaha 1K1P dari Daerah Tutong sahaja tetapi juga pengusaha 1K1P dari daerah-daerah lain untuk sama-sama turut serta dalam tamu mingguan berkenaan.

“Jadi dengan kedudukan ruang ini, kita percaya ia akan dapat menarik minat lebih ramai pengunjung untuk didedahkan kepada produk-produk 1K1P berkenaan di mana sebelum ini, kebanyakan pengusaha menjual produk-produk mereka di mukim-mukim atau kampung masing-masing ataupun melalui agensi-agensi tertentu dan pasar raya-pasar raya.”

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata bahawa Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri juga mengambil langkah untuk menjalin kerjasama dengan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dalam mengendalikan Kursus Transformasi 1K1P 2020 yang mempunyai lima fasa utama dan telah disertai oleh lebih 30 usahawan 1K1P.

Daripada itu, sebanyak 10 produk 1K1P telah dikenal pasti untuk dinaiktarafkan untuk dimajukan dengan program itu akan diteruskan bukan sahaja untuk memberikan bimbingan kepada mereka mengenai keusahawanan tetapi juga untuk meningkatkan kualiti produk mereka.

Beliau turut menyatakan bahawa beberapa peserta kursus berkenaan juga menyertai tamu mingguan berkenaan di mana maklum balas daripada mereka adalah mereka terus berusaha untuk meningkatkan kualiti pembungkusan dan produk mereka serta juga mempelbagaikan produk di mana ia dapat dijadikan produk utama pada masa akan datang.