Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Dalam usaha untuk mempelbagaikan keseluruhan ekonominya, Negara Brunei Darussalam masih memanfaatkan kekuatan industri tenaganya untuk meningkatkan lagi nilai tambah negara dengan mempelbagaikan usaha dalam industri hiliran.
Pertumbuhan pesat industri hiliran berkenaan telah membantu Brunei untuk menggandakan eksportnya dan mengukuhkan lagi sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Perkara berkenaan dinyatakan oleh Setiausaha Tetap di Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Urusan Interim Autoriti Petroleum (PA) Negara Brunei Darussalam, Haji Azhar bin Haji Yahya dalam pembentangannya semasa Sesi Pertama Simposium Tenaga iaitu Dialog Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Tenaga, Masa Hadapan di Negara Brunei Darussalam, yang berlangsung di Dewan Musyawarrah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Hadir untuk menyaksikan dan menyempurnakan perasmian Simposium Tenaga ialah Timbalan Menteri di Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.
Sesi dialog pertama simposium berkenaan mengetengahkan panel yang terdiri daripada Haji Azhar, Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Agnete Johnsgaard-Lewis; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG Sdn Bhd, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib dan Country Head, Petronas Carigali Brunei Ltd, Mohd Johan Ariff bin Mohd Supian di mana mereka membincangkan dan mengongsikan pandangan mengenai cara untuk membentuk masa depan baharu bagi industri minyak dan gas di negara ini termasuk transformasi digital, peralihan tenaga, peluang pekerjaan tempatan serta cabaran yang dihadapi oleh sektor minyak dan gas semasa pandemik.
Simposium itu mengetengahkan empat sesi iaitu Dialog Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Tenaga Masa Hadapan di Negara Brunei Darussalam, Ketahanan kepada Norma Baharu, Menceburi Peralihan Tenaga dan Mempersiapkan Penduduk Tempatan untuk Peluang Pekerjaan dalam Sektor Tenaga.
Simposium tenaga anjuran PA Negara Brunei Darussalam, diadakan secara hibrid di mana ia dihadiri secara fizikal oleh kira-kira 230 orang peserta yang berpeluang menjalin hubungan rangkaian dan bertukar-tukar idea dengan para profesional, penceramah pakar subjek dan pemimpin pelbagai bahagian.
Terdahulu, Presiden Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Profesor Hidetoshi Nishimura dalam ucaptama pada simposium berkenaan menggariskan beberapa cabaran peralihan tenaga ASEAN termasuk ketersediaan, kebolehcapaian dan kemampuan bekalan tenaga yang merupakan keperluan asas bagi negara-negara ASEAN.
Simposium itu juga menggariskan kepentingan usaha kolektif oleh agensi-agensi tempatan, serantau dan antarabangsa dalam mempromosikan pendekatan asas dan gunaan dalam usaha bagi memenuhi aspirasi ke arah masa depan tenaga yang lebih berdaya tahan.