Wednesday, December 4, 2024
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat pekembangan kemahiran anak melalui aktiviti mandi

    MANDI sememangnya menjadi rutin wajib yang dilakukan oleh semua orang termasuk anak kecil.

    Di sebalik fungsinya untuk membersihkan diri daripada segala kekotoran, rutin mandi sebenarnya memainkan peranan penting terhadap perkembangan tumbesaran anak.

    Walaupun kelihatan seperti tugas harian yang wajib dilakukan tetapi sebenarnya, masa mandi bersama si kecil adalah waktu terbaik untuk meningkatkan ikatan antara anak dengan ibu bapa dan merangsang otak si kecil anda.

    Menurut kajian yang dilakukan, otak kanak-kanak terbentuk sebanyak 85 peratus pada usianya tiga tahun.

    Dalam tempoh tersebut, rangsangan sensori memainkan peranan penting bagi perkembangan anak untuk sihat dan gembira.

    Aktiviti mandi bukan sahaja berperanan untuk membersihkan diri anak bahkan ia juga secara tidak langsung meningkatkan kemahiran diri mereka.

    Pada peringkat ini daya penyerapan kognitif adalah amat tinggi, sistem saraf dan neuron juga berkembang dengan pesat.

    Ingatan

    Perkembangan kognitif anak juga dipengaruhi aroma. Aroma yang baik dipercayai dapat menstimulasikan bahagian otak sehingga menguatkan ingatan anak di kemudian hari.

    Pilihlah mandian yang wangi buat si kecil agar mereka juga gembira dan teruja setiap kali mandi.

    Selain itu, saat mandi jangan hanya digunakan sebagai waktu untuk membersihkan diri sahaja, berikan juga sentuhan lembut dan kemudian ajak anak untuk berbicara serta lakukan hubungan mata.

    Gunakan perkakas mainan yang berwarna-warni serta itik comel sebagai teman si kecil untuk mandi di mana ia setentunya akan lebih menggembirakan ketika anak berada dalam bilik air.

    Berikan tugas untuk menjaga peralatan dan itik mainan mereka ketika mandi adalah sesuatu yang baharu untuk anak lakukan.

    Kemahiran anak juga akan terangsang apabila menggunakan daya imaginasi.

    Menerokai

    Bagi membantu perkembangan fizikal anak anda ketika mandi, apa yang boleh anda lakukan adalah dengan memberikan mereka objek yang selamat untuk diterokainya.

    Dengan cara tersebut, si kecil boleh belajar mengenai cara untuk menggunakan jari dan tangannya bagi melakukan sesuatu seperti menggengam dan memegang dengan kuat.

    Perhatikan juga cara si kecil menggunakan anggota badannya untuk melakukan sesuatu seperti memecahkan buih mandian.

    Dengan cara tersebut, si kecil akan tahu bahawa dia mempunyai badan yang sihat dan kuat untuk melakukan banyak perkara yang hebat.

    Secara tidak langsung, hal tersebut juga dapat membina harga diri si kecil agar menjadi lebih positif.

    Oleh itu, jadikan waktu mandi anak sebagai satu detik istimewa bukan sahaja untuk meningkatkan ikatan antara anda dan si kecil malah untuk membantu anak merangsang perkembangannya dengan baik. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda