Tingkat pemahaman pemandu pelancong

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Seramai 12 orang pemandu pelancong telah mengadakan siri lawatan ke Pusat Sejarah Brunei di ibu negara pagi tadi, dalam usaha Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) menambahkan lagi kefahaman serta pengetahuan para pemandu pelancong di negara ini terhadap pusat berkenaan dan galeri-galeri yang terdapat di sana.

Mengetuai rombongan lawatan ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat 1, di Jabatan Kemajuan Pelancongan, Hajah Nurfariza binti Haji Abdul Aji.

Ketika ditemui, Hajah Nurfariza menjelaskan bahawa siri lawatan pemandu pelancong telah dibahagikan kepada tiga sesi dan hari ini merupakan sesi lawatan pertama, seterusnya akan disusuli oleh lawatan daripada kumpulan pemandu pelancong yang lain lagi pada minggu hadapan dan seterusnya.

Rombongan dibahagikan kepada beberapa kumpulan disebabkan peraturan pengehadan jumlah pengunjung yang dibenarkan memasuki pusat berkenaan dalam satu-satu masa dan bagi membolehkan para pengunjung untuk mengamalkan penjarakan fizikal sewaktu membuat lawatan.

Hajah Nurfariza turut menjelaskan bahawa lawatan seumpamanya bukanlah yang pertama kalinya dan sebelum ini mereka pernah mengadakan beberapa siri lawatan bersama pemandu-pemandu pelancong ke beberapa buah tempat lainnya seperti di masjid-masjid, Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Penerangan dan banyak lagi.

Tujuannya adalah bagi memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada mereka dan seterusnya dapat memberikan maklumat yang tepat kepada para pelancong yang mengunjungi negara ini.

Para pemandu pelancong ketika diberikan taklimat ringkas sebelum lawatan dijalankan.