Tingkat pembacaan Surah Al-Fatihah

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 22 OKT – Sebagai salah satu usaha untuk memanfaatkan masa dengan baik ketika pandemik COVID-19 ini, seramai 41 peserta yang terdiri daripada pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD), ahli-ahli jawatankuasa Eksekutif Keugamaan dan Kerohanian Alumni (EKKA) dan Eksekutif Keugamaan dan Kerohanian Persatuan Mahasiswa Universiti Brunei Darussalam (EKK PMUBD) telah mengambil bahagian dalam Bengkel Tajwid: Klinik Kuasai Asas Al-Fatihah (KAAF) secara dalam talian baru-baru ini.

Bengkel tersebut merupakan salah satu inisiatif terbaharu Projek Quranic Journey: Bimbingan Pembacaan Al-Quran yang dikelolakan bersama oleh Unit Kerohanian dan Khidmat Masyarakat, EKKA dan EKK PMUBD. Bengkel yang dijalankan selama dua jam itu dikendalikan oleh penceramah jemputan khas bertauliah MUIB daripada Al-Muyassar Group, Awang Najib Latif.

Bengkel bertujuan memberikan peluang kepada peserta untuk mempelajari cara membaca serta hukum tajwid yang tepat dalam Surah Al-Fatihah yang merupakan surah penting dan termasuk dalam rukun sah sembahyang, selain memperbaiki dan membina hubungan baik di antara para pelajar dan fasilitator.

Awang Najib menekankan, “Banyak perkara atau hal-hal seperti sebutan huruf dan hukum tajwid yang kurang tepat kita lakukan tanpa disedari semasa membaca Surah Al-Fatihah.”

Selain itu, bengkel juga bertujuan membantu memberikan pemahaman dan menjaga bacaan Surah Al-Fatihah yang akan menambah kualiti solat yang ditunaikan kerana bacaan yang kurang tepat boleh menukar makna terhadap ayat Al-Quran dan pentingnya sentiasa memperbetulkan niat serta menjaga adab ketika melakukan sesuatu amalan agar meraih lebih keberkatan.

Susulan projek Quranic Journey ini, bengkel seterusnya yang bertemakan komunikasi yang efektif akan diadakan untuk menambah lagi ilmu pengetahuan mengenai topik berkaitan Rukun Islam.

Antara peserta yang mengambil bahagian dalam bengkel yang dianjurkan baru-baru ini. – Gambar serahan Al-Muyassar Group