Tingkat pengesanan kontak, premis diharap pasang kod QR

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Aplikasi mudah alih penilaian diri (self assesment) dan pengesanan kontak yang bakal dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan, bukan dibangunkan oleh Apple atau Google tetapi dibangunkan oleh pembangun aplikasi sendiri yang menggunakan teknologi bluetooth dan bukannya GPS.

Di samping itu, untuk meningkatkan lagi keupayaan pengesanan kontak, setiap premis juga diharap akan memasang kod QR masing-masing, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika menjelaskan lanjut mengenai aplikasi yang bakal dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menerangkan bahawa jika sesiapa hendak memasuki ke sesebuah premis seperti pusat membeli-belah, mereka akan mengimbas kod QR berkenaan dan juga mengimbas kod itu sekali lagi ketika hendak keluar dari premis tersebut.

“Ini akan memberikan maklumat yang lebih tepat tentang keberadaan seseorang itu dalam satu masa. Jadi jika ada seseorang yang dijangkiti COVID-19 berada pada jam yang sama, ini akan memastikan kita akan dapat melakukan pengesanan kontak dengan efisien,” tambah Yang Berhormat Dato lagi.