Tingkat pengetahuan asas pengendalian perkhemahan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Dalam hasrat untuk mendalami ilmu kepimpinan dan kemahiran berpengakap, Pasukan Pengakap Kelana 1102 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Perkhemahan Asas Sehari ke-2 bagi memberikan lebih kefahaman dan pendedahan serta pengetahuan asas tentang cara-cara ketika mengendalikan perkhemahan di samping meningkatkan jati diri kepada ahli-ahlinya.

Latihan itu disertai oleh seramai 30 orang ahli Pengakap Kelana dari Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA yang diadakan di Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Kompleks Pengakap, Jalan Gadong, baru-baru ini.

Keahlian pengakap bagi ahli-ahli Pengakap Kelana bermula daripada usia 18 hingga 26 tahun atau bagi pelajar-pelajar yang sedang belajar dalam institusi pengajian tinggi atau di maktab atau golongan belia.

Sebelum mengikuti perkhemahan itu, ahli-ahli di bawah pengawasan Dr Muhammad Alif bin Haji Sismat selaku penyelaras Pasukan Pengakap Kelana UNISSA yang juga pemimpin Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA telah menjalani sesi latihan kepimpinan dan kemahiran mingguan yang dijalankan selama enam minggu kepada ahli-ahli Pengakap Kelana yang baharu bagi mendapatkan Lencana Keahlian Pengakap Sedunia. Mereka terlebih dahulu diajar mengenai penggunaan simbol isyarat jari ketika membuat hormat pengakap, ketika melafazkan persetiaan pengakap dan tanda isyarat senyap pengakap.

Hadir bagi mengetuai latihan kepimpinan dan kemahiran dalam perkhemahan itu ialah Jurulatih Pengakap Kelana UNISSA, Awang Zainudin bin Haji Ishak serta dibantu oleh Pesuruhjaya Latihan Haji Othman bin Durani; Pemimpin Pengakap, Awang Rakob bin Nasir; Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Awang Ritchie bin Siabu dan Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Temburong, Awang Ronnie bin Siabu.

Sepanjang latihan praktikal perkhemahan asas sehari itu, ahli-ahli Pengakap Kelana telah diberi pengetahuan tentang pentingnya kerjasama dalam satu pasukan serta diajar secara praktikal cara mendirikan khemah, membuat kraf pengakap, membuat susun atur kawasan perkhemahan, ikhtiar hidup bagi menghidupkan api dengan menggunakan kayu dan memanggang roti lilit serta memasak nasi di dalam kotak minuman, menunjuk cara penggunaan dan penjagaan peralatan tajam, ikatan dan simpulan, membina model projek pioneering berbentuk menara ‘hourglass’ bersaiz 12 kaki tinggi, memasak bagi makan tengah hari secara berkumpulan dan membuat kerja-kerja kemasyarakatan bagi membersihkan Balai Ibadah Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.

Tema Sambutan Hari Kedamaian Antarabangsa pada tahun 2020 adalah Shaping Peace Together dan ahli-ahli Pengakap Kelana 1102 UNISSA turut memegang perekat yang membawa pelbagai slogan Hari Kedamaian Antarabangsa sebagai tanda sokongan kedamaian sejagat.

Ahli-ahli Pengakap Kelana 1102 UNISSA memegang perekat Hari Kedamaian Antarabangsa sebagai tanda sokongan kedamaian sejagat. – Gambar serahan PPNBD