Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Bagi memberikan pengetahuan asas mengenai pertolongan cemas, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Taklimat Pertolongan Cemas bagi guru-guru di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) yang berlangsung di Auditorium, maktab berkenaan, hari ini.
Salah seorang guru yang juga Ketua bagi Unit Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE), Dayang Armacester binti Arsad memberitahu bahawa ia merupakan sesi pertama yang diadakan bagi lebih daripada 20 orang guru Maktab Duli dan sesi sama akan diadakan lagi pada masa akan datang bagi guru-guru yang belum mengikuti taklimat berkenaan.
Tujuan taklimat berkenaan diadakan adalah bagi melatih guru-guru dengan kemahiran yang diperlukan bagi mengetahui dan memberikan penjagaan pertolongan cemas (first aid care) bagi kecederaan dan sakit secara tiba-tiba, sebelum kakitangan perubatan datang dan mengambil alih.
Selain itu, ia juga bertujuan bagi melengkapkan guru-guru dari setiap jabatan dengan pengetahuan pertolongan cemas dengan harapan agar guru-guru berkenaan berkongsi pengetahuan tersebut kepada guru-guru yang lain di jabatan mereka.

Taklimat berkenaan juga adalah bagi memastikan terdapatnya wakil bagi setiap jabatan yang mengetahui pengetahuan pertolongan cemas dan latihannya.
Antara topik yang telah dikongsikan dalam taklimat berkenaan adalah pengenalan mengenai pertolongan cemas, Bantuan Asas Kecemasan (BLS), luka dan pendarahan.
Dayang Armacester juga menjelaskan bahawa sesi berkenaan amat berguna bagi mereka, yang mana sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini, mereka tidak akan merasa panik dan dapat serba sedikit menolong orang-orang yang memerlukannya, khususnya untuk para penuntut, guru-guru dan kakitangan di maktab berkenaan.