Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Pusat Timbangtara Brunei Darussalam (BDAC) telah mengadakan Commercial Arbitration Moot (Moot) di Pejabat BDAC, Jalan Kumbang Pasang, baru-baru ini.
Seramai 15 peserta terdiri daripada pelajar undang-undang dan graduan telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
Sebelumnya, para peserta telah membuat persiapan untuk pertandingan sejak Jun 2024, di mana beberapa sesi kuliah telah diberikan kepada peserta mengenai proses timbang tara dan advokasi.
Moot berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai timbang tara sebagai kaedah pengurusan konflik yang berkesan, meningkatkan pengetahuan mengenai timbang tara komersial, membimbing dan membantu peserta dalam penggunaan peraturan timbang tara BDAC di samping membangunkan kepakaran para peserta dalam amalan timbang tara.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara itu ialah ahli Lembaga Pengarah BDAC, Haji Zainidi bin Haji Abdul Hamid yang sekali gus menyampaikan ucapan pembukaan.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan timbang tara yang semakin meningkat, terutamanya timbang tara antarabangsa, sebagai kaedah penyelesaian pertikaian yang menjadi pilihan dalam dunia yang saling terhubung ketika ini.
Beliau turut menekankan, peningkatan transaksi rentas sempadan dan kerjasama antarabangsa, manfaat timbang tara menjadi lebih penting daripada sebelumnya.
Di samping itu, Haji Zainidi turut menyatakan penyelesaian pertikaian yang adil dan saksama adalah matlamat utama, sama ada di mahkamah, di meja rundingan atau semasa sesi timbang tara.
Beliau juga menyatakan Moot itu menyediakan peluang amat bernilai untuk pelajar dan profesional muda yang berbakat dalam timbang tara.
Di ruang itu, mereka boleh melakukan kesilapan dengan risiko yang minimum, sambil mempelajari pelajaran penting untuk kerjaya masa depan mereka.
Haji Zainidi turut menjelaskan sebagai penimbangtara jemputan, adalah tanggungjawab mereka untuk berkongsi kekayaan ilmu dan menyediakan pertumbuhan serta perkembangan bagi mereka yang suatu hari nanti akan membawa obor keadilan untuk cemerlang dalam dunia timbang tara dan seterusnya.
Pada acara yang berlangsung selama dua hari itu para peserta telah membentangkan hujah mereka semasa sesi bicara timbang tara kepada penimbangtara jemputan.
Ia berakhir pada hari kedua dengan sesi bicara terakhir, diikuti oleh analisis dan maklum balas daripada penimbangtara jemputan. Arbitral Award turut menjadi penyeri di akhir acara.
Penimbangtara jemputan terdiri daripada pegawai kehakiman, penimbang tara luar negara, pengamal undang-undang dari sektor swasta dan kerajaan serta pensyarah universiti.