Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Satu ‘kemalangan’ telah berlaku di kawasan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB), Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang telah melibatkan sebuah keluarga, bersama dua penunggang berbasikal dan seorang pekerja kontraktor, pagi tadi.
Mangsa kemalangan telah pun dibawa ke Pusat Simulasi dan Wad Simulasi, Institut Sains Kesihatan PAPRSB, UBD bagi menjalani pengalaman simulasi klinikal kepada pelajar-pelajar yang terlibat dalam‘Simulation Drill Activity’ iaitu salah satu aktiviti simulasi kecemasan yang dianjurkan oleh Kumpulan Simulasi, Institut Sains berkenaan.
Dengan bertemakan ‘Bridging Clinical Competency through the Theatre of Simulation Based-Learning’, aktiviti kecemasan tersebut merupakan kali pertama diadakan yang melibatkan pelajar-pelajar dari bidang perubatan, paramedik, kejururawatan dan kebidanan dari Institut Sains Kesihatan PAPRSB, UBD dan Sekolah Sains Kesihatan, Politeknik Brunei.
Adapun objektif aktiviti kecemasan itu diadakan adalah bagi menyatupadukan para pelajar secara aktif dan bebas dalam menyatukan pengetahuan, kemahiran, sikap dan pengalaman mereka dalam menguruskan senario kes klinikal, menilai kecekapan klinikal pelajar dalam pengurusan kes simulasi, menilai kecekapan pelajar dalam memastikan keselamatan pesakit dan menilai prestasi pelajar-pelajar yang dinamik.


Mereka yang terlibat dalam aktiviti kecemasan tersebut ialah mahasiswa-mahasiswi Tahun 3 dalam bidang BHSc Perubatan, DHSc Paramedik, DHSc Kejururawatan, mahasiswa-mahasiswi Tahun 2 dan 3 dalam DHSC kebidanan, pensyarah-pensyarah dan pasukan simulasi.
Aktiviti Simulasi Kecemasan merupakan salah satu program di bawah Minggu Simulasi Penjagaan Kesihatan 2017 yang diadakan di institut berkenaan.
Minggu Simulasi Penjagaan Kesihatan telahpun disambut secara global oleh pengguna simulasi pada 11 hingga 15 September setiap tahun. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pengamal penjagaan kesihatan dengan menggunakan simulasi bagi meningkatkan keselamatan pesakit melalui keberkesanan dan kecekapan penjagaan pesakit dan penjagaan kesihatan orang awam.