Oleh Imelda Groves HA
Gambar oleh Azrol Azmi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Bagi memberigakan lagi mengenai Akta Kanun Tanah (Strata) Penggal 189, Jabatan Tanah telah mengadakan jerayawara mengenainya di Bangunan Kementerian Pembangunan, di sini, pagi tadi.
Akta berkenaan diperkenalkan melalui titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun 1999 dan mula dikuatkuasakan pada 1 Julai 2009.
Ia merupakan sebahagian daripada cabang undang-undang Kanun Tanah Penggal 40, yang memperuntukkan undang-undang bagi membolehkan pemilik lot tanah memecah bahagi bangunan yang mempunyai lebih daripada dua unit utama, sama ada secara menegak (vertical) atau mendatar (horizontal) untuk diberikan hak milik strata secara berasingan.
Akta berkenaan diperkenalkan untuk membuka peluang dan menggalakkan pelaburan dalam pasaran hartanah di negara ini yang dijangka akan menjana perkembangan ekonomi negara melalui pertumbuhan industri pembangunan daripada pelabur dalam dan luar negeri. Di samping itu, ia menjamin hak pemilikan tanah persendirian dan hak pemilikan strata.
Sejak akta tersebut dikuatkuasakan pada tahun 2009, pihak Jabatan Tanah telah mengungkayahkan beberapa siri jerayawara di keempat-empat daerah.


Namun, mengikut rekod Jabatan Tanah, jumlah permohonan untuk memecah bahagi bangunan untuk pengeluaran geran hak milik strata yang diterima dan diproses setakat ini jelas menunjukkan ia belum lagi menggalakkan.
Oleh itu, Jabatan Tanah mengadakan semula jerayawara bagi pemberigaan Akta Kanun Tanah (Strata) Penggal 189 tentang kelebihan strata dan juga prosedur memprosesnya daripada peringkat permohonan pecah bahagi bangunan strata, proses pindah milik strata dan penubuhan Perbadanan Strata.
Turut sama menjayakan jerayawara ini adalah Jabatan Ukur iaitu dalam peranannya memproses permohonan pecah bahagi bangunan strata.
Dengan adanya ‘refreshing roadshow’ ini diharap pihak-pihak yang berkepentingan luar seperti pemilik tanah, pemaju, agen hartanah, badan-badan profesional, juruukur tanah berlesen, peguam, institusi kewa-ngan dan sebagainya akan dapat meningkatkan kefahaman dan lebih jelas mengenai dengan kelebihan strata dan diharap dapat membantu meningkatkan kadar permohonan pengeluaran geran hak milik strata.
Siri-siri jerayawara pemberigaan pelaksanaan Akta Hak Milik Strata itu juga akan dilaratkan ke daerah-daerah lain sepertimana yang dirancang mengikut jadual.