Tingkat penyampaian khutbah

Oleh Ak Zaki Kasharan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Bagi memperkenalkan metode penyampaian khutbah yang berkesan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menganjurkan kursus intensif membaca khutbah dan menghalusi solat yang berlangsung di Dewan Tarbiyah, kolej berkenaan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Seramai 450 orang peserta terdiri daripada imam-imam masjid seluruh negara, guru besar sekolah agama dan pelajar tahun empat Program Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama KUPU SB mengikuti kursus berkenaan.

Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar dalam ucapan alu-aluannya melahirkan harapan agar melalui kursus tersebut dapat mengukuhkan serta menambah dan memperbaiki pengalaman sedia ada peserta dan memantapkan lagi kualiti amalan khutbah dan solat masing-masing, seterusnya menyebarkan maklumat berkenaan kepada para jemaah dan anak-anak di rumah dan di sekolah.

Dalam kursus berkenaan, para peserta turut berpeluang mendengarkan ucapan perdana yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Ustaz Awang Abdul Aziz.

Mufti Kerajaan ketika menyampaikan sijil kepada fasilitator kursus intensif membaca khutbah dan menghalusi solat.

Yang Berhormat Pehin antara lain menyentuh mengenai teknik atau cara khusus dan seni khutbah yang hebat lagi cantik.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil kepada fasilitator yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin sebelum majlis sesi sebelah pagi diakhiri dengan bacaan doa. Kursus kemudiannya diisikan dengan pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Kaedah Khutbah yang Berkesan’ yang disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor, Fakulti Usuluddin KUPU SB, Dr Mikdar Rusdi.

Pada sesi sebelah petang pula, demonstrasi Rukun (Solat) dijalankan oleh Dr. Haji Adanan sebagai fasilitator.

Kursus diadakan sebagai usaha kepada merealisasikan hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Peringatan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad S.A.W tahun 1939H.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Pemangku Setiausaha Tetap di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Serudin bin Haji Timbang.