Sunday, February 16, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat, perbaiki mutu bacaan Al-Quran kita

    BERTUAH sesiapa yang dapat membaca Al-Quran dengan lancar dan mengingatinya di dalam dada.

    Bahkan mengamalkannya dalam kehidupan seharian mempunyai banyak kelebihan antaranya ialah:

    – Sesiapa yang dapat membaca Al-Quran setiap hari adalah satu nikmat.

    – Sesiapa yang dapat mengalunkan bacaan Al-Quran dengan baik dan betul adalah satu kehebatan.

    – Sesiapa yang dapat menghafal 30 Juz Al-Quran pula merupakan impian setiap orang yang bergelar muslim.

    Selalunya kita beranggapan bahawa kita patut membaca Al-Quran sekurang-kurangnya sejam atau lebih. Jika anda bukanlah orang yang sentiasa membaca Al-Quran, itu pastinya terlalu banyak dan berat untuk dilaksanakan. Sebagai permulaan, mulakan dengan hanya lima minit sehari. Apabila anda memulakan langkah pertama ini, Insya-Allah, lama-kelamaan tanpa sedar lima minit itu akan bertukar menjadi 10 minit dan seterusnya. – Gambar hiasan

    Jika kita dapat mencapai kesemua perkara diatas, Insya-Allah ia adalah salah satu kebahagiaan yang sangat besar dan paling bermakna dalam hidup ini. Namun dengan cabaran kehidupan dan budaya hidup masyarakat kini yang sentiasa sibuk, sedikit sebanyak membataskan hubungan kita dengan Al-Quran. Malah ia semakin kritikal dari generasi ke generasi.

    Walau apa pun kes yang mungkin terjadi, di sini dikongsikan beberapa tip mudah dan berkesan dalam membantu memudahkan kita dalam menghubungkan diri dengan Al-Quran:

    1-Imbas kembali niat kita

    Kunci untuk mendapat manfaat sepenuhnya daripada Al-Quran adalah muhasabah kembali niat kita, sebelum menyentuh kitab Allah ini. Tanya diri kita secara jujur, mengapa kita membaca Al-Quran?

    Hanya sekadar membaca isinya sahaja dan kemudian membiarkan ia menghanyut jauh daripada kita tanpa amal?

    Ingatlah bahawa Nabi Muhammad SAW digelarkan sebagai Al-Quran bergerak. Dalam kata lain, Baginda tidak hanya membaca membaca dan mengalunkan Al-Quran, tetapi Baginda menghidupkan apa yang terkandung dalam Kalam Allah itu.

    2-Mengambil wuduk sebelum membaca Al-Quran

    Mengambil wudhu adalah persediaan mental dan fizikal yang baik untuk mengingatkan kita bahawa kita bukan sekadar sedang membaca ‘buku’ yang biasa. Sebenarnya kita sedang ingin berhubung dengan Allah. Oleh sebab itu kebersihan adalah satu keutamaan yang penting apabila kita ingin menghadap-Nya.

    3-Baca Al-Quran sekurang-kurangnya lima minit setiap hari

    Selalunya kita beranggapan bahawa kita patut membaca Al-Quran sekurang-kurangnya sejam atau lebih. Jika anda bukanlah orang yang sentiasa membaca Al-Quran, itu pastinya terlalu banyak dan berat untuk dilaksanakan.

    Sebagai permulaan, mulakan dengan hanya lima minit sehari. Apabila anda memulakan langkah pertama ini, Insya-Allah, lama-kelamaan tanpa sedar lima minit itu akan bertukar menjadi 10 minit, 10 minit akan menjadi setengah jam dan seterusnya menjadi sejam. Dan mungkin lebih lagi.

    4-Pastikan kita faham apa yang kita baca

    Meluangkan masa lima minit untuk membaca Al-Quran dalam Bahasa Arab adalah bagus, namun kita perlu faham apa yang kita alunkan itu.

    Pastikan anda ada terjemahan Al-Quran yang baik dalam bahasa yang anda mudah fahami. Sentiasalah membaca terjemahan untuk memahami apa yang telah kita baca. Pasti hati kita akan berasa tenang dan menjumpai jawapan-jawapan kepada setiap permasalahan yang terjadi dalam hidup kita.

    Al-Quran bukan hanya sekadar didengar oleh telinga, tetapi harus terdengar sampai ke hati kerana fungsi baca Al-Quran itu ada dua, kalau tidak untuk menenangkan hati, ia untuk mengubati. Jadikan Al-Quran sebagai peti aduan kita.

    5-Jangan hanya bacaan, dengarkan juga

    Di era yang serba canggih ini, jangan terhadkan diri kita untuk semakin merapatkan diri dengan kalam Allah ini. Muat turun aplikasi dan audio ke dalam telefon pintar kita. Dengan cara ini kita boleh mendengar alunan Al-Quran setiap masa dari Qari yang kita minati dan secara tidak langsung dapat memperbaiki bacaan kita dari masa ke semasa.

    6-Belajar tajwid

    Sedar tidak sedar, alunan Al-Quran itu sendiri adalah salah seni terhebat yang boleh kita lakukan. Untuk baca dengan mahraj yang betul dan mempertingkatkan keindahan bacaan Al-Quran, kita mesti belajar hukum tajwid.

    Keindahan alunan bacaan ayat suci Al-Quran akan pudar tanpa hukum tajwid yang betul. Oleh itu, belajar dan amalkan hukum tajwid yang betul. Yang terbaik pastilah dengan belajar secara berguru.

    Kita pada masa yang sama juga boleh memudahkan pembelajaran tajwid kita dengan menggunakan Al-Quran yang hukum bacaannya dicetak dalam warna berbeza untuk membantu memudahkan kita mengenalpasti sesuatu hukum dengan mudah.

    7-Berdoa kepada Allah

    Pohonlah kepada Allah supaya memandu dan membantu kita apabila membaca Al-Quran. Tujuan kita adalah untuk mengharap keredhaan dan rahmat daripada-Nya. Juga dengan niat untuk berhubung dengan Allah dengan membaca, memahami dan mengamalkan setiap perkataan suci yang terdapat dalam Al-Quran. Oleh itu, doa adalah alat terbaik untuk memudahkan kita mendapat petunjuk dan panduan daripada Allah SWT. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda