KUCHING, 4 JAN – Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) memulakan perbincangan dengan Borneo Restu Sdn Bhd hari ini, untuk pelaksanaan projek Point-of-Presence (PoP) Fasa 2 bagi menambah baik perkhidmatan rangkaian di Sarawak.
Menurut SMA, PoP adalah projek kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital yang menyediakan akses terbuka rangkaian jalur lebar gentian menggunakan teknologi pemasangan gentian ke rumah (FTTH).
Mesyuarat diadakan antara SMA dan Borneo Restu Sdn Bhd bagi membincangkan pelan tindakan mitigasi yang diperlukan bagi mempercepatkan projek berkenaan.
Pengurus Besar SMA, Dr Zaidi Razak berkata kerajaan Sarawak memberi penekanan sepenuhnya dalam memastikan masyarakat luar bandar mendapat akses kepada sambungan Internet berkelajuan tinggi. – Bernama