Tingkat perlindungan hak wanita

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Bagi mengetengahkan peranan wanita dalam masyarakat, perlindungan hak dan kesaksamaan gender, Sistem G20 buat julung kalinya telah menganjurkan persidangan mengenai Pemerkasaan Wanita yang dikendalikan dalam format hibrid, kelmarin.

Hadir menyertai persidangan tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku pengerusi Tunggak Komuniti-Sosio Budaya ASEAN 2021.

Penyertaan Yang Berhormat Dato adalah atas undangan Republik Itali selaku presiden G20 tahun ini yang dipengerusikan oleh Menteri Kesaksamaan dan Keluarga, Republik Itali, Puan Yang Terutama Elena Bonetti dan turut dihadiri oleh menteri-menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal wanita dari anggota G20 dan negara-negara tetamu, perwakilan peringkat tinggi dari institusi, organisasi antarabangsa serta daripada kumpulan rakan kongsi dan rakan sosial rasmi G20.

Persidangan itu bertujuan untuk mengetengahkan kualiti peranan wanita dalam masyarakat dan pelaksanaan dasar-dasar yang bertujuan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang awam dan swasta, sekali gus meningkatkan perlindungan hak mereka dan keganasan berkaitan gender.

Selain itu, ia juga berperanan sebagai platform untuk mempromosikan tindakan sinergi dan komitmen bersama dengan mengurus atur rujukan-rujukan mengenai kesetaraan jantina dan pemerkasaan wanita serta memastikan kesesuaian dan koordinasi dasar di seluruh spektrum institusi dan rakan kongsi.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menghadiri Persidangan G20 mengenai Pemerkasaan Wanita yang dikendalikan dalam format hibrid, baru-baru ini. – Gambar serahan KKBS

Kenyataan yang diterima juga menyatakan dua bidang tematik persidangan itu iaitu STEM, Literasi Kewangan dan Digital, Alam Sekitar dan Kelestarian; dan Pemerkasaan Tenaga Kerja dan Ekonomi dan Keseimbangan Kerja-Kehidupan.

Semasa persidangan itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut mengongsikan tema ASEAN 2021 iaitu We Care, We Prepare, We Prosper, dan menekankan, antaranya, misi ASEAN ke arah kesaksamaan jantina dan pemerkasaan semua wanita dan gadis dalam setiap aspek kehidupan.

Menurutnya lagi, walaupun menghadapi kesan pandemik COVID-19, ASEAN sentiasa berusaha untuk memastikan hak dan peluang semua wanita dan gadis, terutama bagi golongan yang mudah terjejas (vulnerable), sentiasa dilindungi.

Beliau juga mengongsikan komitmen ASEAN terhadap Deklarasi ASEAN mengenai Pelaksanaan Responsif Jantina bagi Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dan SDG, dan Agenda Tindakan ASEAN mengenai Pemerkasaan Ekonomi Wanita.

Beberapa inisiatif ASEAN turut dikongsi iaitu dengan memanfaatkan kedinamikan ekonomi digital yang semakin berkembang, ASEAN dapat mempercepatkan kemajuan dalam mengarusutamakan pemerkasaan ekonomi wanita melalui inovasi, perdagangan dan perniagaan inklusif.

Ini, katanya, termasuklah memaksimumkan teknologi dan ruang digital untuk pendidikan dan peningkatan kemahiran di kalangan wanita, terutamanya dalam bidang perdagangan dan perniagaan.

Sementara itu, dalam Rangka Pemulihan Komprehensif ASEAN dan Pelan Tindakannya, mengakui wanita dan gadis adalah antara mereka yang paling terkesan dengan wabak pandemik.

Dalam hal ini, usaha dan keputusan pemulihan ASEAN juga dilengkapi dengan maklumat dan data melalui laporan ASEAN Gender Outlook 2020 serta ASEAN Regional Study on Women, Peace and Security.

Oleh itu, ASEAN sentiasa berterusan dalam menghasilkan data dan statistik jantina untuk mengatasi ketidaksamaan dan halangan terhadap pemerkasaan wanita.

Dalam usaha yang selari, ASEAN juga terus memperkukuhkan perlindungan sosialnya dalam memastikan tiada sesiapa pun yang ketinggalan.

Negara Brunei Darussalam selaku pengerusi ASEAN 2021 juga giat berusaha memperkembangkan Rangka Ekonomi Penjagaan Komprehensif ASEAN dan Pelan Tindakannya dalam menangani keperluan masa ini dan masa hadapan yang timbul daripada perubahan demografi, ketidaksamaan, dan cabaran pembangunan yang mampan.

Ini dihasratkan akan dapat mendorong kemajuan dalam pemerkasaan wanita, dengan menangani jurang jantina dalam kerja-kerja penjagaan yang menghalang kebanyakan wanita dan gadis mengembangkan potensi dan kemampuan mereka sepenuhnya.

Sebagai langkah ke hadapan, ASEAN pada masa ini sedang berusaha untuk mengembangkan Pelan Induk Pembangunan Wanita di ASEAN.

Ini akan menggabungkan pelbagai inisiatif yang berkaitan dengan pembangunan wanita ke arah memupuk sinergi dan kerjasama, dalam memastikan rangka kerja yang lebih padu dan komprehensif bagi mempromosikan kesetaraan dan pemerkasaan wanita serta gadis secara keseluruhan di rantau ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.