Tingkat persiapan Sambutan Hari Keputeraan

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 11 Julai – Tinjauan bagi mengemas kini persiapan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun diteruskan lagi ke Daerah Temburong, hari ini.

Tinjauan menyaksikan persediaan bagi menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar.

Hadir dalam tinjauan tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan ke-72 tahun.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika mengadakan tinjauan di Daerah Temburong.
Antara yang terlibat semasa latihan Sambutan Hari Keputeraan yang diadakan kelmarin.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu; Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut; Timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Haji Adnan bin Haji Adam selaku pengerusi Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Daerah Temburong Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-72 Tahun serta ahli-ahli jawatankuasa tersebut.

Latihan menumpukan sepenuhnya kepada atur cara keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong dengan tema persembahan khas ‘Raja Prihatin, Mahkota Rakyat’.

Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong akan diadakan pada 24 Julai di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar.