Tingkat piawaian kemahiran maritim

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Sebagai sebahagian daripada ekonomi maritim pada hari ini, Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) terus menjadi aset penting kepada Negara Brunei Darussalam di mana negara terus bergantung pada perdagangan minyak dan gas sebagai salah satu aliran pendapatan utamanya.

Oleh itu, adalah amat penting bagi industri berkenaan untuk terus membangunkan strategi bagi memastikan keselamatan dan kelestariannya bagi penduduk negara.

Dalam hubungan itu, BGC amat bangga dengan kehadiran pelaut-pelaut yang berada di belakang setiap operasi yang selamat iaitu aset paling pentingnya, kakitangan syarikat berkenaan.

Sebagai usaha berterusan BGC untuk mengukuhkan tenaga kerja tempatan syarikat bagi memenuhi jawatan utama dan pekerjaan di dalam syarikat berkenaan, BGC mengadakan Majlis Pencapaian Bakat Saluran Maritim BGC untuk meraikan kakitangannya di mana BGC percaya bahawa mempunyai kakitangan yang betul dengan kemahiran
yang betul, adalah amat penting.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Urusan BGC, John Douglas Cook dalam kata alu-aluannya semasa majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Indera Samudra, The Empire, hari ini. Hadir pada majlis yang meraikan tiga mercu tanda penting bagi BGC iaitu kenaikan pangkat pegawai-pegawai senior dan junior kapal BGC, penandatanganan kontrak bagi kadet-kadet baharu BGC dan penandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara BGC dan Akademi Maritim Brunei (BMA) di bawah Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) itu ialah Setiausaha Tetap (Tenaga) di Kementerian Tenaga dan Pengarah Urusan Interim Autoriti Petroleum, Haji Azhar bin Haji Yahya.

John Douglas Cook dalam kata alu-aluannya lagi menyatakan bahawa salah satu aspek utama BGC ialah pembangunan pelaut-pelaut Brunei daripada peringkat kadet hingga kepada pengurusan kanan selaras dengan standard antarabangsa menjadikan mereka boleh dipasarkan dalam arena global.

Pada majlis itu, jelasnya, tujuh orang pegawai diraikan serta dinaikkan pangkat termasuk seorang yang mencapai pangkat kapten iaitu yang pertama di bawah pengurusan sendiri BGC sejak tamatnya transisi pengurusan kapalnya. Di majlis itu lagi, beliau menyatakan bahawa penandatangan kontrak lima orang kadet baharu ke dalam Program Kadet Marin BGC merupakan satu lagi mercu tanda penting yang dicapai oleh BGC. BGC, jelasnya, juga percaya dalam melabur ke dalam bakat tempatan di mana ke arah itu, BGC menandatangani MoU dengan Akademi Maritim Brunei di bawah IBTE sebagai usaha ke arah menyumbang kepada pengukuhan dan menyokong pertumbuhan bakat tempatan dalam industri maritim.

Antara pegawai yang diraikan serta dinaikkan pangkat pada majlis tersebut.
John Douglas Cook (kiri) dan Dr Haji Mohammad Zamri bertukar-tukar dokumen yang ditandatangani dengan disaksikan oleh Haji Azhar.