Tingkat produk 1K1P dalam rancangan

Oleh Normazlina M.D & Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Antara rancangan pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam mempertingkatkan lagi aktiviti perusahaan khasnya Satu Kampung Satu Produk (1K1P) adalah dengan mencari rakan strategik dan meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan iaitu dari segi pembungkusan yang menepati keperluan-keperluan.

Perkara itu antara hala tuju kementerian untuk mendukung pertubuhan Sektor Bukan Minyak dan Gas yang dikemukakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa menjawab pertanyaan ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Umarali bin Esong berkenaan rancangan kerajaan bagi meningkatkan produk 1K1P pada hari ke-5 Persidangan Majlis MMN Musim ke-15, hari ini.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar juga menekankan produk 1K1P juga perlu dipastikan berdaya mapan yang mana jumlah produk yang dikeluarkan adalah mencukupi pada waktu yang diperlukan.

Semua itu, katanya lagi, telah diteliti oleh jawatankuasa (Majlis 1K1P) yang dianggotai oleh beberapa sektor termasuk sektor swasta yang memberikan pandangan untuk meningkatkan lagi produk 1K1P.

Yang Berhormat Pehin juga percaya bahawa jika produk 1K1P ini berkembang, ianya akan dapat memberikan peluang kepada belia-belia di negara ini sebagai satu sumber pekerjaan dan sumber pendapatan mereka serta meningkatkan tahap ekonomi dalam komuniti dan ianya adalah salah satu objektif dalam Wawasan Brunei 2035.

Sementara itu, Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussien (gambar) pada majlis sama turut mengemukakan rancangan Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian untuk memperkembangkan inisiatif 1K1P.

Antara inisiatifnya adalah menerusi beberapa siri lawatan Darussalam Enterprise (DARe) yang diadakan ke premis-premis pembuatan produk 1K1P majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK) serta mengadakan beberapa perbincangan dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian.

Menurut Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny beberapa pertimbangan dan pengenalpastian juga perlu dilakukan untuk membawa produk 1K1P ke peringkat yang seterusnya yang mempunyai potensi eksport.

“Hasil daripada perbincangan yang diadakan dan setelah meninjau, permasalahan yang dihadapi oleh MPK dan MPM terutamanya dari segi kapasiti pengeluaran kualiti pembuatan produk yang dihasilkan adalah termasuk pembungkusan dan pelabelan,” ujarnya.

Pada masa ini, beberapa produk 1K1P telah pun menyertai inisiatif ‘Made in Brunei’ yang dikendalikan oleh DARe bagi ketengahkan dan mempromosi jualan melalui penempatan produk menggunakan rak-rak jualan ‘Made in Brunei’ di pasar raya utama di negara ini serta lokasi utama termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan juga beberapa hotel terkemuka di negara ini.

Selain itu, salah satu peluang yang perlu diterokai dengan lebih lanjut ialah potensi kerjasama beberapa pihak seperti pihak perhotelan membekalkan produk-produk mandian, sabun, syampu, losyen badan dan sebagainya yang dihasilkan oleh beberapa pengusaha 1K1P.

Walau bagaimanapun, produk-produk tersebut perlulah memenuhi keperluan pihak pengguna dari segi jumlah pembekalan yang mencukupi serta kualiti dan keselamatan produk bagi memastikan keyakinan terhadap kemampuan pembekal tempatan.

SAHAM
TerdahuluTahniah pasukan White
Seterusnya$93 juta untuk KSSUP