Tingkat seni kreativiti tarian

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Seni tarian boleh digalas dan dijadikan sebagai salah satu tunggak untuk mendukung industri kreatif tempatan yang boleh melibatkan segenap lapisan masyarakat termasuk golongan belia dalam sama-sama mengembangkan lagi seni tarian di negara ini.

Oleh itu, penganjuran Pertandingan Tarian Rentak Optima dapat mewujudkan semangat kesenian budaya tarian dan persaingan secara sihat antara peserta dan mencetuskan inovatif melalui unsur-unsur seni tarian tradisi dan moden.

Perkara itu dijelaskan oleh Pemangku Ketua Rancangan TV, Dayang Aminah binti Metali semasa Sidang Media Peringkat Akhir Pertandingan Tarian Rentak Optima yang berlangsung di Kompleks Penyiaran Radio Televisyen Brunei (RTB), Sungai Akar, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Penerbit Peringkat Akhir Rentak Optima, Hajah Zaimah binti Pengarah Haji Abdul Rahman; Penerbit Eksekutif Rentak Optima, Dayang Ching Viviyanti binti Ching Hasan dan Ketua Seksyen Perancangan dan Siaran, Hajah Hasiah binti Ali.

Dayang Aminah menyatakan lagi bahawa semua itu memberikan peluang kepada para peserta untuk meningkatkan lagi daya kreativiti dan inovasi mereka khususnya dalam memberikan persembahan yang terbaik dalam tarian tradisional dan moden.

Sementara itu, Dayang Ching Viviyanti ketika mengulas mengenai sambutan orang ramai terhadap pertandingan berkenaan, kaji selidik yang dijalankan mendapati bahawa ia mendapat sambutan yang positif daripada para penonton di mana 92 peratus responden menyatakan rancangan pertandingan itu mempunyai potensi menjadi rancangan yang popular.

Beliau juga menyatakan bahawa kebanyakan responden berminat untuk menonton rancangan itu adalah berusia antara 20 hingga 34 tahun, oleh itu, pihak penerbitan RTB mengambil maklum akan cadangan-cadangan daripada para penonton untuk menambah baik lagi perisian dan mutu persembahan rancangan supaya ia dapat memenuhi cita rasa penonton. Mengulas persoalan mengenai peringkat akhir pertandingan itu, Hajah Zaimah menerangkan bahawa peringkat akhir akan diadakan pada 28 Disember nanti di mana persediaan sedang giat dijalankan oleh para peserta.

Hajah Zaimah (satu dari kiri), Dayang Ching Viviyanti (dua dari kiri), Dayang Aminah (dua dari kanan) dan Hajah Hasiah (satu dari kanan) memberikan penerangan kepada pihak media semasa sidang media mengenai Peringkat Akhir Pertandingan Tarian Rentak Optima yang akan berlangsung pada 28 Disember nanti.