Sunday, April 20, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat sistem pendidikan dengan Progresif for Schools

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Progresif merupakan penyokong kuat bagi pendidikan dan menyokong Brunei yang progresif adalah salah satu batu penjuru dalam visi serta misinya sebagai sebuah entiti korporat yang membantu negara mencapai Wawasan Brunei 2035 terutamanya bagi melahirkan individu yang berkemahiran tinggi dan berpendidikan.

    Pada 2019, Progresif telah melancarkan Pledge for Progress menerusi 1% Pledge di mana Progresif memberikan komitmen untuk memberikan 1 peratus kembali kepada masyarakat dalam bentuk monetari, bantuan atau kesukarelawanan.

    Ia berasaskan kepada idea di mana jika semua melakukan sedikit, ia akan bertambah dan boleh membawa kepada perkembangan yang menarik dalam komuniti, jelas Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar dalam kata alu-aluannya pada majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) bagi penubuhan Progresif for Schools antara Kementerian Pendidikan dan Progresif Sdn Bhd yang berlangsung di Ibu Pejabat Progresif, Gadong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan MoU berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh; Pengerusi Progresif, Awang Junaidi bin Haji Masri serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan dan Progresif.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan Hajah Nurul Haniah selepas penandatanganan MoU.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah menyaksikan penandatanganan MoU di antara Kementerian Pendidikan dan Progresif Sdn Bhd.

    Hajah Nurul Haniah menyatakan bahawa Progresif mencapai satu lagi mercu tanda yang penting dalam inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk menyokong pendidikan menerusi penubuhan Progresif for Schools di mana bersama-sama Kementerian Pendidikan, pihaknya bekerjasama untuk memajukan sekolah dengan matlamat untuk menyokong pelajar dan individu dengan tumpuan untuk membangunkan pembelajaran dan pengajaran mereka.

    “Ini merupakan kolaborasi jangka panjang untuk memacu impak positif dan pertumbuhan dalam komuniti,” tambah Hajah Nurul Haniah.

    Beliau berkata lagi bahawa di bawah inisiatif itu, pihaknya akan melancarkan beberapa buah projek dan salah satu daripadanya ialah Kempen Donate Your Quota di mana Progresif akan menyokong kesalinghubungan ke sekolah-sekolah dan juga melibatkan orang awam di mana mereka akan menderma jumlah kuota data tertentu untuk menyokong akses sekolah dengan lebih baik kepada pembelajaran atas talian dan keperluan latihan.

    Pada masa yang sama, Progresif juga akan memberikan nasihat kerjaya kepada pelajar-pelajar dengan membantu mengenal pasti minat serta laluan kerjaya di mana menerusi 1% Pledge, profesional Progresif yang berbakat dan berdedikasi akan bertukar-tukar pandangan dan pengalaman dengan harapan ia akan memberikan sumbangan yang bermakna untuk mereka mempersiapkan diri dengan lebih baik bagi masa hadapan mereka.

    Di samping itu, sebagai sebahagian daripada Progresif Partnership Support, jelas Hajah Nurul Haniah, mereka juga akan membawa beberapa rakan kongsi mereka untuk menyediakan aktiviti dan program yang menarik untuk menyokong para pelajar serta membuatkan mereka mencapai potensi sepenuhnya menerusi program The Intern.

    Progresif juga akan berkongsi ilmu pengetahuan dengan mengadakan Program Latihan Rentas (Cross Training Program) dalam Pemasaran dan Komunikasi Korporat bagi kakitangan serta guru-guru dari Kementerian Pendidikan.

    Majlis diteruskan dengan penandatanganan MoU antara Kementerian Pendidikan yang diwakili oleh Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati dan Progresif diwakili oleh Hajah Nurul Haniah.

    Majlis kemudian menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah dan Awang Junaidi di mana ia menubuhkan kerjasama yang berpanjangan antara Kementerian Pendidikan dan Progresif Sdn Bhd untuk membantu melonjakkan inisiatif pembelajaran dan pengajaran dalam sistem pendidikan ke tahap yang lebih tinggi.

    Progresif for Schools adalah program kerjasama pelbagai dimensi yang direka untuk memenuhi matlamat yang sama iaitu untuk memastikan kejayaan belia Brunei dalam memenuhi keperluan pendidikan abad ke-21.

    Progresif terus memberikan penekanan kepada pendidikan sebagai salah satu tonggak utama dalam tanggungjawab sosial korporatnya di mana ia telah membantu menjana peralatan pengajaran bagi sekolah-sekolah tempatan melalui majalah Progresif, mempromosikan guru-guru yang semangat dalam Kempen Progresif Heroes serta tajaannya dalam acara besar sekolah seperti Persidangan Isu-isu Global Borneo Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB BGIC), dengan Progresif terus komited kepada pengurusan korporat bagi isu-isu sosial yang penting.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda