Tingkat tahap profesionalisme guru

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Bidang pendidikan adalah satu bidang yang dinamik dan mengalami perubahan akibat perubahan-perubahan dunia termasuk perkembangan pesat daripada kemajuan teknologi dan infokomunikasi.

Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) perlu berbangga dan bersyukur dapat memainkan peranan menyumbang dalam bidang pendidikan menerusi penyediaan perkhidmatan sekolah daripada peringkat tadika hingga sekolah menengah.

Dalam hubungan itu, PGGMB perlu meneroka dan meluaskan lagi skop penglibatan atau sumbangan mereka itu kepada bidang-bidang lain termasuk mengembangkan dan mempertingkatkan tahap profesionalisme guru-guru secara berterusan sama ada dalam bidang umum ataupun khusus dan berusaha menjelmakan atau membuat transformasi supaya PGGMB akan dikenali sebagai persekutuan guru profesional.

Harapan itu disuarakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika berucap pada perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan PGGMB ke-70 yang berlangsung di Dewan Sekolah PGGMB, Sungai Akar, hari ini.

Beliau menyatakan lanjut bahawa pada masa ini, bukan institusi-institusi pendidikan sahaja yang menawarkan perkhidmatan pendidikan tetapi juga badan-badan korporat dan agensi-agensi tertentu yang melibatkan diri menawarkan program-program pendidikan khusus untuk membantu mereka yang memerlukan untuk perkembangan kapasiti dan meningkatkan tahap dan kualiti pendidikan penerima program-program berkenaan iaitu sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan PGGMB ke-70 yang berlangsung di Dewan Sekolah PGGMB, Sungai Akar, kelmarin.

Dengan bilangan ahli yang terdiri daripada guru-guru yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam berbagai-bagai bidang serta dengan pengalaman mereka, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa PGGMB mampu untuk membuat langkah ke hadapan melaksanakan program untuk membantu masyarakat atau keluarga bukan dengan wang ringgit atau bantuan makanan, tetapi bantuan pemedulian, nasihat dan bimbingan kepada ahli keluarga serta kanak-kanak yang masih di alam persekolahan yang ketiadaan orang tua mereka bersama mereka untuk memeduli mereka.

“Jika mereka tidak dapat menerima pendidikan yang sewajarnya, mereka akan terus mengalami nasib yang sama.”

Yang Berhormat Pehin berkata lagi, “Dalam hubungan ini, PGGMB boleh bergerak menjadi rakan strategik kepada program Satu Kampung Satu Keluarga, program yang bertujuan untuk membantu kehidupan keluarga dalam memeduli kesejahteraan termasuk pendidikan ahli keluarga yang dikenal pasti memerlukan.”

Beberapa tahun dahulu, Negara Brunei Darussalam telah melaksanakan satu program ASEAN dengan menghantar graduan atau guru-guru Bahasa Inggeris untuk mengajar Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah rendah di Laos, Kemboja, Vietnam dan Thailand, ulas Yang Berhormat Pehin.

Program itu, katanya lagi, bukan sahaja merupakan sumbangan negara bagi meningkatkan pendidikan di negara-negara berkenaan tetapi juga memberikan pengalaman yang berharga kepada mereka yang menyertainya malah menimbulkan kesedaran dan keinsafan.