Tingkat tahap sara diri

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Bagi meningkatkan kapasiti keluaran daging lembu dalam negara, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) memperuntukkan tanah seluas 55 hektar di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Batang Mitus, Daerah Tutong.

Ia diperuntukkan kepada Syarikat PDS Abattoir Sdn Bhd bagi membesarkan penternakan lembu yang sedang diusahakan ketika ini secara kaedah sistem fidlot dan untuk meningkatkan tahap sara diri bekalan daging dalam negara.

Sehubungan itu, Majlis Penandatanganan Perjanjian Penyewaan Tanah di KKP Batang Mitus, Dearah Tutong antara Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, KSSUP bersama Syarikat PDS Abattoir Sdn Bhd telah diadakan di Dewan Setia Pahlawan, Bangunan KSSUP, hari ini.

Hadir bagi menyaksikan majlis penandatanganan tersebut ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga selaku pengerusi Lembaga Pengarah Darussalam Assets Sdn. Bhd.

Menandatangani perjanjian bagi pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan ialah Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Aidah binti Haji Mohd Hanifah sementara itu, Syarikat PDS Abattoir Sdn Bhd diwakili oleh pengarah urusannya, Lee Kheng Hua.

Hajah Aidah bertukar-tukar dokumen dengan Lee Kheng Hua sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew. – Gambar oleh Rahwani Zahari
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika menghadiri majlis berkenaan, kelmarin. – Gambar oleh Yusrin Junaidi

Hadir sama pada majlis penandatanganan tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin yang juga pengarah Darussalam Assets Sdn Bhd; Setiausaha Tetap (Pelaburan) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid selaku ketua pegawai eksekutif Darussalam Assets Sdn Bhd; Pemangku Setiausaha Tetap di KSSUP, Haji Halidi bin Haji Mohd Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Darussalam Assets Sdn Bhd, Syarikat PDS Abattoir Sdn Bhd dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Majlis penandatanganan perjanjian berkenaan telah disusuli dengan sesi lawatan tapak projek di KKP Batang Mitus pada sebelah petang. Tapak projek tersebut pada masa ini telah ditanam rumput fodder bagi persiapan untuk makanan ternakan lembu yang akan diimport.

Syarikat PDS Abattoir Sdn Bhd adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana Darussalam Assets Sdn Bhd adalah pemegang saham majoriti. Syarikat berkenaan pada masa ini dalam proses pembinaan sebuah fidlot dan penanaman napier grass di atas tapak berkeluasan 55 hektar.

Mula beroperasi pada 1996 di KKP Batang Mitus dengan kawasan seluas dua hektar, syarikat berkenaan pada masa ini mempunyai kapasiti keluaran antara 3,000 hingga 4,000 ekor setahun.

Fidlot tersebut juga akan dapat membantu mengurangkan kos yang membawa manfaat kepada para pelanggan untuk mendapat akses kepada daging yang lebih berkualiti dan segar di Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, fidlot berjenaan juga akan membantu Syarikat PDS untuk menjadi lebih berdaya saing di dalam dan luar negeri serta berpotensi untuk menembusi pasaran luar negara.

Syarikat berkenaan juga merupakan penyumbang terbesar dalam keluaran kasar bagi industri daging lembu di negara ini, di mana secara keseluruhan keluaran kasar bagi industri daging lembu tempatan bagi 2018 dianggarkan bernilai $21.48 juta.

Melalui peruntukan tanah seluas 55 hektar berkenaan, syarikat tersebut akan mengembang majukan lagi aktivitinya pada masa ini untuk meningkatkan keluaran kepada 7,000 ekor setahun menjelang 2020 melalui kaedah Sistem Fidlot.

Sistem berkenaan adalah kaedah penternakan lembu dalam kandang yang terkawal yang mana ternakan berumur di bawah satu tahun akan diimport dan digemukkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan (100 hari).

Proses penggemukan adalah termasuk pemberian rumput (fodder) yang cukup dan makanan ternakan tambahan atau pati bagi mempercepatkan peningkatan berat badan.

Perlaksanaan Projek Fidlot berkenaan akan dilaksanakan secara dua fasa dengan fasa pertama, fidlot tersebut akan dibiayai melalui pinjaman iaitu pembiayaan pihak ketiga bernilai $7 juta yang telah diperolehi daripada BIBD dan dijangka akan membuat pelaburan untuk pembinaan dua buah kandang lembu dan penanaman rumput.

Penambahan pembinaan sebanyak empat buah kandang lembu akan dimulakan pada fasa kedua.

Diharapkan melalui projek berkenaan, ia akan dapat menyumbang kepada penjanaan peluang pekerjaan kepada warga tempatan serta peningkatan pengeluaran sumber daging tempatan untuk meningkatkan sara diri bekalan bagi daging lembu selain memastikan bekalan daging halal dan bersih kepada pengguna tempatan dapat terjamin dan membantu menstabilkan harga penjualan daging-daging di pasaran tempatan.

SAHAM
TerdahuluMusang King datang lagi
SeterusnyaSagan pamer keazaman