THANH HOA, Vietnam, 13 April – Jabatan Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar wilayah tengah Thanh Hoa, menggesa semua kawasan di wilayah itu meningkatkan pemantauan terhadap penyakit selesema burung jenis A/H7N9, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Jawatankuasa daerah, bandar dan wilayah perlu mengesan wabak itu di peringkat awal bagi mengelakkan ia merebak selain melaksanakan langkah pencegahan sebagaimana diarahkan peringkat pusat dan wilayah bertujuan mengurangkan kesan buruk.
Jabatan juga mengarahkan agensi veterinar dan agensi lain yang berkaitan melaksanakan pemantauan rapi mengenai pengangkutan dan penggunaan hasil ternakan ayam dan memastikan bekalan ayam dari kawasan luar menjalani proses kuarantin.
Usaha meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyakit perlu di-tingkatkan dalam kalangan penternak ayam tempatan.
Selain itu, penduduk tempatan perlu proaktif mengesan dan mengawal jangkitan dengan tidak terlibat dalam jualan, mengangkut atau penyembelihan ayam import secara haram. – Bernama