Tingkat usaha tangani penularan COVID-19

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Kementerian Kesihatan menggesa semua perkhidmatan kedai gunting rambut, salon, perkhidmatan urut agar terus melipatgandakan usaha pembersihan diri mahupun tempat perkhidmatannya bagi mengelakkan peningkatan risiko penularan COVID-19 terjadi sama ada di kalangan pelanggan atau pemberi perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan.

Perkara tersebut adalah antara yang ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di, Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato, sesetengah negara telah pun melarang perkhidmatan-perkhidmatan tersebut dijalankan dalam usaha membendung penularan COVID-19. Walau bagaimanapun di negara ini perkhidmatan tersebut masih lagi dibenarkan namun langkah berjaga-jaga perlu diambil dengan memastikan kebersihan sentiasa menjadi keutamaan pada setiap masa.

Menyentuh mengenai beberapa pusat terapi termasuk pusat terapi bagi kanak-kanak istimewa di bawah kendalian pihak swasta atau NGO yang masih beroperasi pada ketika ini, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menyarankan untuk sentiasa memantau kakitangan serta seluruh warga pusat berkenaan dapat dipastikan kebersihan semasa menangani kanak-kanak di pusat-pusat berkenaan dan menjadi lebih bertanggungjawab kepada masyarakat.

Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa terapi bagi kanak-kanak istimewa memerlukan terapi yang berterusan dan jika dihentikan akan menyukarkan lagi keadaan walau bagaimanapun risiko keselamatan kanak-kanak berkenaan juga mesti dipertimbangkan dan diutamakan.

Jika pusat berkenaan dapat mengawal pekerja dan kakitangan di pusat-pusat tersebut dan mengamalkan kebersihan diri dan berdisiplin maka pusat berkenaan adalah diperbolehkan untuk meneruskan kegiatannya, namun jika sebaliknya maka adalah lebih baik pusat-pusat berkenaan untuk ditutup bagi menjaga kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan pusat tersebut, tambah Yang Berhormat Dato lagi.