Tingkatkan aktiviti bola sepak dari akar umbi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) melalui Jabatan Pembangunan Teknikal iaitu Bahagian Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi telah membuat perancangan rapi bagi aktiviti bola sepak pada peringkat akar umbi di negara ini bagi tahun ini.

Selain itu NFABD turut berhajat bagi memfokuskan kepada program pembangunan bagi jurulatih bola sepak di peringkat akar umbi dalam usaha mendukung serta memberi galakan kepada para pemain bola sepak bawah umur 12 tahun.

Di antara langkah yang dilakukan oleh pihak persatuan dalam kenyataan rasmi daripada NFABD ialah dengan mengadakan Festival Bola Sepak di setiap daerah bagi pemain yang berusia di bawah umur lapan tahun dan di bawah 10 tahun.

Tujuan festival itu ialah untuk mempromosikan sukan bola sepak selain menarik minat para pemain cilik di negara ini untuk lebih bergiat aktif dalam sukan bola sepak dengan menyertai mana-mana kelab, akademi atau sekolah yang aktif dalam mengikuti Aktiviti Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi NFABD.

Sementara itu bagi pemain yang berumur 11 dan 12 tahun pula, NFABD juga ingin mendedahkan para pemain muda tanah air untuk bersaing di peringkat akar umbi melalui kejohanan dan platform yang telah disediakan.

NFABD juga menyarankan agar para pemain yang lahir di antara 1 Januari 2007 hingga 31 Disember 2008 supaya bergiat aktif untuk berlatih dengan mana-mana kelab atau akademi bola sepak di negara ini mahupun mana-mana pasukan sekolah yang juga dijemput untuk menyertai dalam kejohanan Grassroots 4×4 Game Festival dan Liga Daerah B12.

Orang ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut atau ingin mendapatkan maklumat mengenai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh NFABD bolehlah melayari laman sesawang NFABD di alamat www.nfabd.org/grassroots.

Antara aktiviti yang dijalankan oleh Pembangunan Bolasepak Akarumbi NFABD tahun ini.