Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Tingkatkan amal ibadat 10 malam terakhir

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Sebagai umat Islam, kita dituntut dan dianjurkan untuk menghidupkan dan mempertingkatkan amal ibadat di 10 terakhir bulan Ramadan dengan mencontohi junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

    “Rasulullah SAW menghidupkan malam-malam Baginda di 10 terakhir di bulan Ramadan dengan melakukan pelbagai amal ibadat, melebihi yang biasa Baginda lakukan di bulan-bulan yang lain.”

    Khatib dalam Khutbah Jumaat, hari ini, menjelaskan antara sebab peningkatan dalam melakukan amal ibadat oleh Baginda Rasulullah SAW di 10 malam terakhir di bulan Ramadan adalah bagi menyambut kedatangan malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar.

    “Lailatul Qadar adalah satu malam yang istimewa, yang dianugerahkan Allah bagi memuliakan umat Naib Muhammad SAW dan anugerah yang tidak pernah diberikan kepada umat-umat yang sebelumnya,” jelasnya.

    Sesungguhnya pada malam Lailatul Qadar itu Allah mengampunkan dosa hambaNya yang beribadah kepadaNya dengan penuh keimanan kerana mengharapkan keredaan Allah.

    “Kita hendaklah memperbanyakkan dan melipat gandakan ibadat dan amal kebajikan bagi merebut kelebihan dan keuntungan yang tidak ternilai harganya,” katanya lagi.

    Menurut khatib, Lailatul Qadar itu tidak ditentukan saat dan waktunya kerana ia adalah perkara rahsia dan hanya Allah saja yang maha mengetahui.

    Ini adalah hikmahnya supaya kita tekun berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk beribadat dan membuat amal kebajikan pada setiap malam di bulan Ramadan dan tidak akan hanya beribadat pada malam-malam yang tertentu saja.

    Walau bagaimanapun Baginda Rasulullah SAW menjelaskan dalam hadis Baginda supaya mencari Lailatul Qadar pada 10 hari terakhir di bulan Ramadan dan pada tiap-tiap malam, yang ganjil.

    Khatib seterusnya menyeru dalam usaha untuk menghidupkan malam Lailatul Qadar, sama-sama mencontohi dan mengamalkan apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

    Ini antaranya, jelas Khatib, dengan beriktikaf, memperbanyakkan sembahyang sunat, membaca Al-Quran, zikrullah, istighfar, berdoa dan sedekah.

    “Memandangkan betapa besar ganjaran Lailatul Qadar itu, seyogia kita merebut peluang tersebut dengan meningkatkan lagi amal ibadat terutama sekali di 10 hari terakhir di bulan Ramadan dan mudah-mudahan amal ibadat dan amal kebajikan yang dilakukan di sepanjang bulan ini diterima oleh Allah,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...