Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Umat Islam digalakkan untuk merebut peluang di bulan Ramadan ini untuk mendapatkan pengampunan daripada Allah SWT dan kembali kepada fitrah.
Perkara tersebut antara yang disentuh dalam Kuliah Subuh bersempena bulan Ramadan yang disampaikan oleh Awang Hilman bin Haji Salim, yang bertajuk ‘Ramadan Bulan Mensucikan,’ yang diadakan di Masjid Kampung Masin, hari ini.
Beliau berkata, Al-Quran bukan hanya setakat dibaca namun ia perlu difahami dan dihayati dan mengambil pengajaran serta iktibar yang terdapat di dalamnya.

“Selain mengamalkan pembacaan dan tadabbur (memahami dan menghayati) isi Al-Quran di bulan Ramadan ini, kita juga digalakkan untuk menghidupkannya dengan amalan-amalan lain dan berusaha untuk mendapatkan satu malam yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadar,” katanya.
Beliau turut menambah, alangkah ruginya sekiranya kita melepaskan peluang mendapatkan ganjaran yang ada di bulan ini atas alasan sibuk dengan urusan dunia, malah beliau turut memberi peringatan bahawa semakin kita mengejar dunia, semakin jauh akhirat meninggalkan kita, begitu juga di sebaliknya.
Ceramah tersebut telah dihadiri oleh para jemaah dan penduduk kampung yang tinggal berdekatan masjid itu.