Tingkatkan imuniti diri cegah jangkitan wabak

Oleh Nurdiyanah R.

Dalam situasi masyarakat dunia dan tidak terkecuali negara kita menempuhi penularan wabak COVID-19, pastinya pelbagai prosedur operasi standard (SOP) telah diterapkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dalam segenap urusan kehidupan harian masyarakat.

Sehingga kini, masyarakat terus disarankan untuk sentiasa menerapkan amalan menjaga kebersihan diri di mana pun berada, tidak dilupa juga budaya penjarakan fizikal dan teranah di rumah sehingga menjadi norma baharu. Segalanya demi satu harapan tulus untuk berganding bahu bersama Kementerian Kesihatan memutuskan rangkaian virus ini daripada semakin menjadi-jadi.

Namun satu perkara lagi yang perlu kita ketahui ketika bergelut dengan krisis kesihatan sebegini ini, daya pertahanan tubuh yang kuat juga begitu penting dititikberatkan dalam diri kita dan juga insan-insan tersayang dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Salah satu cara yang dapat kita amalkan ialah dengan memastikan kita mendapat sumber vitamin yang lengkap.

Bagaimana caranya?

Hakikatnya, tahukah awda apakah vitamin yang diperlukan tubuh kita agar dapat berfungsi dengan baik serta mencegah penyakit?

Satu hal yang perlu kita ketahui, apabila kita kekurangan vitamin C, ia memudahkan seseorang itu terkena pelbagai penyakit. Bagaimanapun sumber mendapatkannya sangat mudah melalui pelbagai sayur-sayuran dan buah-buahan seperti limau, cili, bayam, strawberi dan brokoli.

Buah-buahan dan sayur-sayuran serta bijirin cukup kaya dengan vitamin.
Sentiasa memperbanyakkan meminum air kosong dalam kehidupan sehari-hari kerana badan akan terhidrasi dengan baik serta menjadikan sistem badan berfungsi dengan lebih baik.

Dalam pada itu, tubuh badan kita juga memerlukan vitamin D untuk memperkuatkan daya tahan tubuh. Ia boleh dihasilkan oleh tubuh sendiri apabila kulit terkena cahaya matahari. Selain itu, ia juga ada dalam bentuk semula jadi daripada pelbagai sumber makanan seperti sebahagian jenis ikan, minyak ikan, kuning telur, produk tenusu dan bijirin.

Sementara itu, vitamin A juga merupakan salah satu vitamin yang diperlukan untuk meningkatkan daya tahan tubuh yang kuat kerana ia memiliki kesan seperti antioksidan yang dapat meningkatkan sistem imun tubuh. Untuk mendapatkan nutrisi vitamin jenis ini maka keraplah memakan makanan seperti lobak merah, labu kuning, dan ubi.

Selain itu, vitamin E bukan hanya sekadar vitamin untuk pertahanan tubuh, tetapi ia merupakan antioksidan yang dapat membantu tubuh dalam berperang melawan jangkitan penyakit. Kita boleh mendapatkannya daripada amalan mengkonsumsi sayur bayam, brokoli, bijirin dan kekacang.

Begitu juga dengan vitamin 6, ia mempunyai peranan penting dalam proses reaksi kimia pada daya tahan tubuh kita. Segalanya boleh diperolehi dengan mudah pada ayam, salmon, tuna, dan sayuran berdaun hijau.

Pentingnya meminum air

Selain itu, kita juga disarankan untuk sentiasa memperbanyakkan meminum air kosong dalam kehidupan sehari-hari. Perkara ini begitu mustahak kerana badan akan terhidrasi dengan baik serta menjadikan sistem badan berfungsi dengan lebih baik.

Apabila kita kurang meminum air, ia akan menyebabkan berlakunya banyak masalah kesihatan lain dan mengganggu proses penurunan berat badan. Kita disarankan minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari. Pada masa sama, kurangkan pengambilan minuman dan makanan manis.

Secara umumnya, terdapat pelbagai cara untuk memastikan kita memiliki tubuh badan yang sihat seperti mengamalkan pengambilan pola makan teratur, aktif melakukan sukan dan juga pengambilan bahan kesihatan.

Berusaha dengan sentiasa bertawakkal

Perlu diketahui juga, selagi kita bergelar hamba Allah, kita tidak akan terlepas daripada segala ujian dan dugaan kehidupan misalnya cabaran dan impak penularan COVID-19 yang kita rasai pada detik ini, namun suatu hal yang perlu kita ketahui sedalam-dalamnya bahawa Allah SWT tidak akan membebani hamba-hambaNya di luar kemampuannya.

Oleh itu, dalam kita meniti liku-liku musibah sebegini, perlunya kita sebagai umat Islam sentiasa meyakini bahawa segala yang berlaku itu tersimpan hikmah padanya. Maka dalam kita berusaha menjaga kesihatan diri dengan pelbagai cara, namun janganlah pula kita lupa untuk sentiasa mengiringi segala urusan duniawi dan ukhrawi kita sambil bertawakal kepada Allah SWT demi mencapai rahmatNya.