Tingkatkan kefahaman, amalan berteraskan Islam

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Semua pengamal kaunseling serta pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, dinasihatkan agar sentiasa memelihara diri dari segi psikologi, emosi, fizikal dan spiritual.

Selain itu, para kaunselor, pengkaji dan pengamal profesional yang berada dalam bidang ini juga diseru supaya dapat meningkatkan kefahaman dan amalan profesional berteraskan Islam agar lebih relevan dengan perkembangan terkini dan konsep Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dalam bentuk acuan kita.

Perkara tersebut antara yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, semasa berucap merasmikan Persidangan Kaunseling Kebangsaan 2022 di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, tadi pagi.

Seterusnya Yang Berhormat Pehin berkata bidang kaunseling adalah salah satu cabang ilmu yang dinamik dan progresif. Profesion sebagai kaunselor adalah penting kepada komuniti dan diharap ia boleh dipertingkatkan lagi.

“Tidak dapat dinafikan, pembangunan pesat negara dan Revolusi Industri 4.0, akan terus memberi cabaran kepada masyarakat dari pelbagai sudut seperti kesihatan mental, psikologi, pembinaan sahsiah dan pendidikan moral.

Yang Berhormat Mufti Kerajaan semasa menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Kaunseling Kebangsaan 2022, kelmarin. – Gambar oleh Rokiah Mahmud

“Oleh itu, intervensi secara fizikal sahaja tidaklah mencukupi, malah mesti ditambah dengan intervensi spiritual (Rohaniyyah) berpandukan Al-Quran dan Sunnah,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Selain itu beliau turut menekankan bahawa dalam bimbingan dan kaunseling, keyakinan terhadap agama sangat penting, di mana klien akan dapat mengenal ilmu dan kekuasaan Allah apabila merujuk isu, masalah dan ujian yang dihadapi mereka.

“Oleh kerana itu, seorang kaunselor perlulah benar-benar mendalami bidang kaunseling sehingga mampu untuk membina keyakinan klien terhadap kaunselor. Apatah lagi dengan fenomena hari ini, perkhidmatan kaunseling tentu lebih mencabar bagi seorang kaunselor itu untuk membantu kliennya,” jelas Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa isu-isu sosial hari ini sangat dinamik dan di luar dugaan.

Oleh itu, perancangan dan intervensi oleh seorang kaunselor itu adalah penting untuk membantu individu kembali biasa menyertai masyarakat.

Dalam kesempatan yang sama, Yang Berhormat Pehin turut merakamkan ucapan penghargaan serta tahniah kepada pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa persidangan kerana dapat mengungkayahkan majlis ilmu yang sungguh bermakna kepada para pengamal kaunseling, pendidik, para psikologi serta orang awam di negara ini.