MIAMI – Manusia tidak sedar apa yang hilang di bawah permukaan selat yang sibuk dengan perkapalan di ‘ibu kota pelayaran dunia’.
Tepat di bawah kapal-kapal besar, kamera bawah air memperlihatkan rakaman langsung daripada dunia lain, menunjukkan hidupan marin yang cuba bertahan daripada pemanasan global.
Penggunaan kamera di Government Cut Miami hanyalah salah satu daripada usaha Colin Foord dan J.D. McKay yang telah menjalankan misi sedemikian sejak 15 tahun lalu untuk meningkatkan kesedaran tentang terumbu karang dengan menggabungkan sains dan seni untuk membawa kehidupan bawah laut ke dalam budaya pop.
Coral Morphologic, syarikat yang dijalankan oleh mereka telah memaparkan imej yang menakjubkan, meletakkan gambar dekat bawah air yang cantik di media sosial, memperlihatkan video terumbu karang yang bergoyang mengikut irama muzik dan menayangkannya pada bangunan, malah menjual pakaian pantai yang bertemakan terumbu karang.
“Kita semua bukan ahli bidang seni, sains, teknologi tetapi kami adalah alkimia,” kata Colin Foord, yang memiliki rupa tidak seperti seorang saintis biasa, dengan rambut biru sehingga kelihatan seperti bercas dengan elektrik. Dia dan rakan perniagaannya J. D. McKay berjumpa dengan The Assosiated Press (AP) untuk mempamerkan hasil kerja mereka.
Salah satu projek mereka yang paling popular ialah Coral City Camera, yang baru-baru ini mencecah dua juta tontonan dan biasanya mempunyai sekitar 100 penonton dalam talian pada bila-bila masa setiap hari.
“Kami sebenarnya akan dapat mendokumentasikan pertumbuhan karang selama setahun, yang tidak pernah dilakukan sebelum ini pada terumbu karang di situ, dan itu hanya mungkin disebabkan dengan adanya kemudahan teknologi di pelabuhan Miami yang membolehkan kami untuk mempunyai kuasa elektrik dan Internet,” kata Foord.
Perkara tersebut telah didedahkan melalui rakaman bahawa karang staghorn dan yang lainnya boleh menyesuaikan diri dan berkembang biak walaupun dalam persekitaran bawah laut yang tidak menentu, bersama-sama dengan 177 spesies ikan, ikan lumba-lumba, manati dan hidupan laut yang lain, katanya.
Menurutnya lagi, mereka mempunyai sejenis terumbu karang yang sangat berdaya tahan telah tumbuh di sini. Dengan itu, matlamat utama kami adalah mendapatkannya untuk ditunjukkan kepada orang ramai agar mereka tahu bahawa banyak jenis kehidupan marin yang berada di bandar tersebut.
Sementara itu, McKay seperti seorang penerbit Broadway sambil menerangkan bagaimana dia juga merakam makhluk tersebut di makmal mereka, membiakkan karang dalam tangki bagi membolehkan mereka untuk rakaman lebih dekat dengan warna yang menarik.
“Kami pada dasarnya mencipta satu set dengan salah satu akuarium ini, dan kemudian diisi dengan bahan utama seperti terumbu karang, udang atau apa sahaja dan kemudian kami merakamnya, selepas itu menikmati suasana dengan apa sahaja yang berlaku di tempat kejadian dan mencipta lagu dengan beberapa bunyi seperti sekitar atau sesuatu berunsurkan lautan,” jelas McKay.
Hasil terbaharu mereka, ‘Coral City Flourotour’, akan ditayangkan di New World Center Wallscape minggu ini ketika Institut Aspen menganjurkan persidangan iklim utama di Miami Beach. Foord akan menyampaikan ucapan sebagai seorang panel pada majlis berkenaan tentang bagaimana sistem semula jadi lautan boleh membantu manusia belajar untuk memerangi kesan perubahan iklim. Tajuk perbicaraan? ‘Lautan adalah Superhero.’
“Saya fikir apabila kita menyedari bahawa kita semua adalah satu keluarga dalam kehidupan ini dan semuanya saling berkaitan, diharap kita boleh membuat perubahan yang bermakna sekarang, supaya generasi akan datang tidak perlu hidup dalam dunia dengan berlakunya kebakaran hutan, lapisan air cair dan lautan mati,” kata Foord kepada AP.
Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), misi mereka itu adalah penting bagi kehidupan laut kerana selepas 500 juta tahun terumbu karang wujud di Bumi, spesies tersebut telah diserang dengan perubahan iklim yang tidak menentu. Lautan yang semakin panas mendorong kepada pemutihan terumbu karang dan meningkatkan penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kematian karang secara besar-besaran. Manakala, ribut yang lebih kuat dan perubahan dalam kimia pula boleh memusnahkan struktur terumbu karang, dengan arus yang berubah menghanyutkan makanan dan larva.
“Perubahan iklim adalah ancaman global terbesar kepada ekosistem terumbu karang,” kata NOAA dalam laporan mereka baru-baru ini.
Perkara tersebut terdapat pada bahagian kedua nama Coral Morphologic. “Apakah yang dimaksudkan dengan morfologi? Ia bermakna perlu menyesuaikan diri kerana persekitaran sentiasa berubah,” kata Foord.
Karang Staghorn, elkhorn dan karang otak yang hidup di Government Cut memberikan contoh dunia sebenar tentang cara komuniti karang boleh menyesuaikan diri dengan perkara seperti peningkatan haba dan air yang tercemar, walaupun dalam persekitaran yang tidak mungkin terjadi seperti di pelabuhan Miami. Video mereka telah mendokumenkan pendarfluor di beberapa terumbu karang, tindak balas luar biasa di pesisir perairan luar yang dikatakan Foord boleh melindunginya daripada sinaran suria.
“Pelabuhan itu sangat tidak ternilai untuk penyelidikan karang,” kata Foord. “Kita harus realistik. Awda tidak akan dapat mengembalikan ekosistem seperti 200 tahun lalu. Pilihan yang ada adalah lebih radikal.”
Selain dari berkaitan dengan bidang sains, Coral Morphologic juga menjual luncur air dan pakaian renang yang mengambil reka bentuk daripada anemon bunga dan karang otak serta menggunakan bahan yang mampan alam sekitar.
“Kami melihat bahawa kemudahan teknologi boleh menghubungkan manusia dengan alam semula jadi. Kami bertuah sebagai artis dan batu karang mendapat manfaat,“ kata Foord. – AP