Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JAN – Teknologi blockchain adalah teknologi lejar teragih atau distributed ledger technology yang mengandungi rekod digital yang boleh mencatatkan setiap transaksi dengan tidak berubah.
Ia bermaksud, rekod digital tersebut tidak boleh diubah kerana ia akan dikongsikan kepada semua nod komputer yang ada dalam rangkaian blockchain sama.
Transaksi tersebut boleh diproses tanpa melibatkan pihak ketiga secara automatik dengan menggunakan kontrak cerdas.
Mungkin ramai dalam kalangan masyarakat tanpa sedar atau tidak menyedari sudah menggunakan teknologi blockchain. Contoh penggunaan blockchain adalah jenis mata wang digital seperti perbankan, pembayaran global dan e-commerce.
Penggunaan lain termasuklah kontrak cerdas bagi pengundian, insurans, hak digital dan lain-lain.
Begitu juga aplikasi dalam jenis pangkalan data seperti identiti digital dan maklumat kesihatan.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Penganalisis Penyelidikan Blockchain, Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT), Dayang Zara Laila binti Abdul Hadi dan Pemaju Blockchain, BruCERT, Awang Muhammad Haziq bin Haji Mohd Hamzani semasa berkongsi bersama Media Permata mengenai teknologi berkenaan, baru-baru ini.
Dayang Zara menjelaskan, apa yang menarik tentang penggunaan blockchain sebagai identiti digital adalah semua data peribadi seperti kad pengenalan, lesen memandu dan sijil pendidikan akan disimpan dalam satu dompet digital yang boleh disahkan oleh pihak penguatkuasaan tertentu.
Dengan adanya aplikasi berkenaan, identiti digital akan menjadi sumber kepercayaan bagi masyarakat.
Sementara itu, Awang Muhammad Haziq menjelaskan bahawa bagi tujuan verifikasi keselamatan, setiap transaksi yang dilakukan dalam blockchain tersebut hendaklah disahkan mengguna mekanisme konsensus.
Mekanisme konsensus ialah program yang mengandungi algoritma untuk menentukan cara mencapai persetujuan yang boleh memberi kesan kepada kos pengiraan, keselamatan, dan kecekapan blockchain tersebut.
“Secara ringkasnya, jika majoriti nod tidak mempersetujui sesuatu transaksi yang dibuat maka ia akan gagal dan ini membuat teknologi blockchain lebih selamat dan dipercayai,” tekannya.
Kongsinya lanjut, penggunaan teknologi blockchain ada banyak kelebihan tetapi tujuan utama orang ramai melaksanakannya adalah untuk meningkatkan keselamatan data digital.
Antara aspek keselamatan teknologi berkenaan adalah desentralisasi iaitu untuk mewujudkan persekitaran yang trustless dan bebas daripada rasuah; ketetapan di mana setiap transaksi yang ditambah di dalam blockchain tidak boleh diubah dan juga memiliki kriptografi asimetrik bagi keselamatan data.